
TUARAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mengumumkan pertandingan Pidato dalam bahasa Kadazan Dusun akan menjadi acara tahunan Upko.
Beliau berkata, walaupun acara pidato ini belum secara rasminya dijadikan acara tahunan Upko di peringkat nasional, namun di peringkat bahagian, Upko Tuaran akan menjadi pelopor kepada penganjuran dan akan dipanjangkan kelak di peringkat nasional.
Pada awalnya, Upko bahagian Tuaran telah mengadakan Pertandingan Pidato atau Raisol dalam bahasa Kadazan Dusun bersempena sambutan Kaamatan Upko Tuaran yang berlangsung di Dewan Serbaguna Tamparuli Ahad lepas.
Madius, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, pertandingan Raisol dengan tema 'Kaamatan sebagai wadah perpaduan kaum' bukan sahaja tertumpu kepada seni raisol semata-mata malah peserta sebenarnya bertanggungjawab untuk mempelajari dan mendalami bahasa yang digunakan.
"Saya dapat melihat usaha meperkukuh kelestarian bahasa Kadazan Dusun melalui penganjuran ini. Justeru, saya sangat menyokong dan berpendapat sebaiknya acara ini diteruskan sebagai acara tahunan Upko,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sambutan Pesta Kaamatan Upko Tuaran pada Selasa.
Turut hadir Pengerusi penganjur Kaamatan Upko Tuaran Ricky Chin dan Setiausaha Politik Joisin Romut.
Madius, yang juga Presiden Upko berkata, bahasa ibunda merupakan lambang identiti sesebuah bangsa atau suku kaum. Justeru semua anggota masyarakat seharusnya sentiasa berusaha untuk mengekalkan kewujudan bahasa ibunda.
"Walau dengan apa cara sekali pun perlu dilaksanakan termasuklah dengan menganjurkan sebarang aktiviti yang melibatkan penggunaan bahasa Kadazan Dusun secara optimum selain daripada cuba membudayakannya sebagai bahasa pertuturan seharian di rumah," katanya, yang juga Ahli Parlimen Tuaran.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Rayner Ebi berkata, pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori 20 tahun ke bawah (remaja) dan 21 tahun ke atas (dewasa).
Pada awalnya, penyertaan keseluruhan bagi kedua-dua kategori adalah 18 orang namun terdapat peserta telah yang menarik diri atas sebab tertentu.
Bibiana Lojun tampil sebagai pemenang kategori remaja manakala Leolerry Lajius johan kategori dewasa setelah masing-masing berentap dengan tujuh orang dan enam orang peserta lain.
Madius dilihat sudah sekian lama giat menyokong usaha melestarikan bahasa Kadazan Dusun bukan sahaja melalui Upko malah organisasi lain. Salah satu adalah penganjuran Raisol oleh Kolej Sidma tahun lepas.
Madius juga telah merasmikan 'Sodop Pisompuruan' Kolej Sidma pada 30 November 2018 yang berlangsung di Shangri -LA Tanjung Aru & Spa yang mana sebagai sesi penganugerahan semua acara tahun tersebut bagi kolej itu.