Anda di sini

Pesta Kaamatan disambut meriah di seluruh negeri

Advertisement
ANTARA aktiviti kebudayaan, adat serta pakaian tradisi yang dipersembahkan pada sambutan Pesta Kaamatan.
ANTARA aktiviti kebudayaan, adat serta pakaian tradisi yang dipersembahkan pada sambutan Pesta Kaamatan.

KOTA KINABALU: Setiap tahun pada Mei adalah bulan ditunggu-tunggu oleh semua masyarakat di Sabah bukan sahaja komuniti Kadazan Dusun dan Murut (KDM), sebaliknya semua etnik yang terdapat di negeri ini.

Sudah pasti Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) yang terletak di daerah Penampang akan menjadi tumpuan semua masyarakat dari seluruh pelusuk negeri ini.

31 Mei menjadi tarikh penting sambutan Tadau Kaamatan setiap tahun apabila pertandingan ratu cantik yang terkenal iaitu 'Unduk Ngadau' menjadi acara kemuncak perayaan itu.

Tinjauan yang dilakukan di KDCA pada Jumaat mendapati ribuan pengunjung termasuk pelancong dari dalam dan luar negara hadir bersama-sama memeriahkan lagi sambutan Pesta Kaamatan 2019.

Rusili Tampisan, 40, menjelaskan perayaan yang diadakan itu penting bagi memelihara adat dan kebudayaan semua suku kaum etnik Kadazan Dusun dan Murut agar tidak pupus.

"Kita sedia mengetahui bahawa ramai golongan muda kini lebih terdedah dengan teknologi terkini sehingga adat dan kebudayaan sendiri tidak diberikan perhatian sewajarnya.

"Hanya dengan cara sebegini sahaja kita mampu terus memelihara kebudayaan dan adat kita agar kekal sehingga ke generasi masa depan," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Dia turut menjelaskan perayaan yang disambut mampu menarik pelancong untuk melihat sendiri keunikan kepelbagaian etnik di Sabah.

"Kita bersyukur sambutan ini diadakan seterusnya menjadi platform mengetengahkan budaya yang terdapat di Sabah," katanya.

Menurutnya, perayaan itu juga dijadikan peluang kepada anak muda untuk mengetahui kebudayaan masing-masing agar ianya tidak pupus di masa hadapan.

Sementara itu, Artis Murut Tempatan Emmy Mangun, 47, berkata, suasana di rumah Lansaran Murut sangat meriah dengan kunjungan pelancong tempatan dan luar negara.

"Inilah cara kita bersama-sama meraikan Pesta Kaamatan untuk berhibur, perayaan ini juga mampu merapatkan semua rumpun etnik KDM yang terdapat di Sabah," katanya.

Simah Matusip, 60, yang berasal dari Telupid berkata, dia tidak pernah terlepas untuk hadir ke penganjuran Pesta Kaamatan di KDCA setiap tahun.

Katanya, walaupun Telupid itu jauh tetapi dia masih mempunyai saudara di Penampang untuk ditumpang ketika datang melawat KDCA.

Kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan yang memaparkan kepelbagaian budaya dan etnik Sabah serta permuafakatan masyarakat setempat menjadi kunci utama perpaduan yang terjalin dalam negeri ini.

Selain itu, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan kesenian, pameran kebudayaan serta jualan kraftangan di kesemua rumah tradisi etnik KDM di sekitar KDCA.

  • oleh
  • Advertisement