Anda di sini

Rejim Syria ganyang kubu pejuang

Advertisement
 Asap tebal berkepul susulan pengeboman oleh tentera Syria di bandar Khan Sheikhun, pinggir selatan wilayah Idlib semalam. — Gambar AFP
BERTERUSAN: Asap tebal berkepul susulan pengeboman oleh tentera Syria di bandar Khan Sheikhun, pinggir selatan wilayah Idlib semalam. — Gambar AFP

KAFR HALAB: Sembilan kanak-kanak adalah antara sekurang-kurangnya 21 orang awam yang maut kelmarin dalam serangan rejim ke atas bahagian barat laut Syria, sebuah kubu kuat pelampau jihad yang telah mengalami serangan bom yang hebat sejak sebulan lalu, kata sebuah badan pemantau.

Serangan itu, ada di antaranya yang terkena sebuah hospital, menyusuli serangan bom yang semakin serius selama dua hari oleh Damsyik dan sekutunya Rusia ke atas wilayah Idlib yang didominasi pelampau jihad selain beberapa bahagian di wilayah-wilayah bersebelahan.

Serangan bom oleh rejim ke atas kawasan tersebut pada Ahad dan Isnin mengorbankan seramai 31 orang awam, menurut Observatori Syria bagi Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Britain.

Serangan pada Selasa ke atas sebuah lebuh yang sibuk di perkampungan Kafr Halab, di pinggir barat wilayah Aleppo, mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang awam, menurut badan pemantau itu.

Seorang jurugambar AFP berkata mayat mangsa hancur berkecai dan beberapa buah kedai di tepi jalan telah musnah.

Lebuh berkenaan penuh sesak dengan manusia yang keluar sebelum penduduk Muslim berbuka puasa pada bulan suci Ramadan.

Sebuah hospital di bandar Kafranbel dalam Idlib juga terkena bedilan artileri, kata David Swanson, selaku jurucakap bagi pejabat kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kemudahan itu dilaporkan tidak dapat memberi khidmat disebabkan oleh kerosakan struktur yang teruk,” katanya kepada AFP.

Pengarah pentadbiran hospital Majed al-Akraa mengesahkan serangan itu.

“Hospital itu tidak dapat memberi khidmat sama sekali,” katanya.

“Ia adalah serangan yang kuat. Penjana dan malah kereta saya terbakar.”

Amerika Syarikat (AS), yang menuding jari kepada kerajaan Presiden Bashar al-Assad dan sekutunya Rusia, menuntut penamatan serangan udara.

“Serangan sembarangan ke atas orang awam dan infrastruktur awam seperti sekolah, pasar dan hospital merupakan peningkatan konflik yang semberono dan tidak dapat diterima,” kata jurucakap Jabatan Negara Morgan Ortagus kepada pemberita di Washington.

Idlib dan beberapa bahagian di wilayah-wilayah jiran, Aleppo, Hama dan Latakia, berada di bawah kuasa Hayat Tahrir al-Sham, sebuah kumpulan jihad yang diketuai bekas sekutu Al-Qaeda di Syria.

Wilayah itu sepatutnya dilindungi daripada serangan besar-besaran kerajaan oleh satu perjanjian zon penampan pada September lalu, tetapi Damsyik dan Rusia telah mempertingkatkan serangan bom mereka sejak lewat April, dan menawan beberapa buah bandar di sebelah selatannya.

Hampir 280 orang awam sudah maut dalam keganasan yang telah meningkat sejak itu, menurut Observatori.

Sukarelawan dan orang awam kelihatan mengeluarkan mangsa yang diliputi debu dari bawah runtuh bangunan yang musnah ekoran serangan pada Ahad dan Isnin lepas.

PBB memberi amaran bahawa serangan besar-besaran ke atas wilayah itu akan menyebabkan bencana kemanusiaan bagi hampir tiga juta penduduknya.

Timbalan ketua bantuan PBB Ursula Mueller memberitahu Majlis Keselamatan pada Selasa bahawa kira-kira 270,000 orang sudah hilang tempat tinggal disebabkan oleh peperangan di Idlib sejak lewat April lalu.

Agensi bantuan terpaksa menggantung kerja mereka di beberapa kawasan, katanya, dan menambah 22 buah hospital dan klinik telah terkena serangan udar atau pembedilan sejak 28 April.

Perancis mendakwa pada Selasa, ia ada “petunjuk” bahawa serangan kimia telah dilancarkan dalam kawasan Idlib, dan menambah “buat masa sekarang, ia belum disahkan”.

AS melaporkan awal bulan ini bahawa rejim Assad telah melancarkan “serangan” kimia pada 19 Mei lalu di Idlib, dan mengugut untuk melancarkan serangan balas.

Pemeriksa antarabangsa berkata tentera Assad telah menjalankan siri serangan kimia dalam perang saudara yang kejam itu, yang sudah mengorbankan lebih 370,000 orang dan menyebabkan jutaan lagi hilang tempat tinggal sejak 2011. — AFP

Advertisement