Anda di sini

PPM Tawau tahan tiga bot nelayan, menunda di kawasan larangan

Advertisement

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, menahan tiga bot nelayan tempatan yang dikesan menjalankan aktiviti menunda ikan dalam kawasan kurang dua batu nautika dari persisir pantai di Laut Merotai dan Laut Sungai Udin Tawau, pagi kelmarin.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata dalam Op Gelora kira-kira jam 9 pagi itu, sepasukan polis marin sedang menjalankan rondaan rutin dan mengesan bot-bot nelayan tempatan tersebut yang sedang leka menjalankan aktiviti memukat tunda.

Katanya, juragan tiga bot berkenaan, seorang rakyat tempatan dan dua warga Indonesia, yang masing-masing berumur 37 hingga 44 tahun ditahan, beserta hasil tangkapan.

“Anggaran berat keseluruhan hasil tangkapan ikan iaitu 60 kg dianggarkan bernilai RM1,950.

“Turut ditahan enam lelaki anak kapal berumur antara 30-40 tahun warga Indonesia dan mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut Mohamad Pajeri, tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Perikanan 1985.

Sementara itu, pada hari yang sama dalam Ops Gelora Khas, PPM menahan empat lelaki yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri di kawasan laut Tinagat dekat sini.

Mohamad Pajeri berkata PPM menahan perahu tidak berdaftar dalam keadaan mencurigakan, yang sedang menghala ke kawasan perumahan setinggan atas air di Batu 4 di sini.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati empat lelaki berumur lingkungan 19 hingga 28 tahun dipercayai warga asing dalam perahu berkenaan, dan gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini.

“Pengakuan awal secara lisan mendapati mereka cuba mendapatkan bekalan minyak petrol dan dipercayai untuk dibawa ke Filipina,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata semua suspek dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut, dan turut dirampas sebuah bot dan tiga unit enjin pam dengan anggaran nilai RM 6,500.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63. — Bernama

Advertisement