Anda di sini

Perjanjian gas PNG kucar-kacir selepas O’Neill berundur

Advertisement
 Gambar fail 16 November, 2018 menunjukkan O’Neill berucap semasa perasmian Independence Drive Boulevard di Port Moresby. — Gambar AFP
BERUNDUR: Gambar fail 16 November, 2018 menunjukkan O’Neill berucap semasa perasmian Independence Drive Boulevard di Port Moresby. — Gambar AFP

PORT MORESBY: Perdana Menteri Papua New Guinea (PNG) meletak jawatan semalam untuk menamatkan krisis politik selama berbulan-bulan dan menimbulkan tanda tanya tentang perjanjian gas bernilai berbilion dolar yang disokong oleh Perancis dan Amerika Syarikat (AS).

Peter O’Neill, yang berdepan dengan beberapa peletakan anggota kabinet dan undi tidak yakin yang pasti tidak akan dimenanginya, memberitahu Parlimen bahawa beliau sudah menyerahkan surat peletakannya kepada gabenor jeneral negara.

“Saya dengan ini mengemukakan peletakan saya sebagai Perdana Menteri negara merdeka Papua New Guinea, berkuatkuasa serta-merta”, kata surat itu yang turut diperolehi AFP.  

O’Neill berkata, beliau memutuskan untuk meletak jawatan demi kepentingan kestabilan politik yang sedia ada, selain menyebut tentang keperluan bagi keyakinan ekonomi dan perpaduan sosial.

Selama lapan tahun, O’Neill telah memimpin negara dengan penduduk pelbagai etnik itu, yang mempunyai lebih 800 bahasa.

Namun beliau dikritik hebat kerana gejala rasuah yang berleluasa dan kemunduran yang kronik, di negara yang semakin menjadi tempat bagi permusuhan AS-China.

Pembelian 40 buah kereta Maserati oleh kerajaan pada tahun lepas untuk membawa pembesar asing sekitar beberapa jalan yang diturap sepenuhnya di Port Moresby sewaktu sidang kemuncak APEC telah menjadi lambang pemerintahannya.

Namun perkara yang mencetuskan krisis dipercayai perjanjian bernilai AS$13 bilion (RM52 bilion) baru-baru ini dengan Total dan ExxonMobil untuk mencari gali, menyalurkan dan menghantar gas cecair asli (LNG) ke seberang laut.

Perjanjian itu menimbulkan kemarahan ketua-ketua kaum dan wilayah yang berpengaruh dan menyatakan mereka tidak menerima bahagian yang adil.

Menteri Kewangan James Marape dari wilayah Hela di kawasan tanah tinggi merupakan anggota kabinet pertama yang meletak jawatan sebagai tanda bantahan, dengan menyatakan wang itu tidak akan dinikmati rakyat jelata PNG, syarikat tempatan atau negeri-negeri.

Perjanjian serupa dalam tempoh sedekad lalu gagal untuk membawa kekayaan ke negara itu di mana hanya 13 peratus sahaja rakyat yang menikmati akses yang baik kepada bekalan elektrik.

O’Neill sebelum ini sudah berjanji untuk meletak jawatan, tetapi kemudian mengambil tindakan mahkamah dalam usaha untuk terus memegang kuasa, yang mencetuskan konfrontasi fizikal dalam Parlimen.

Namun semalam O’Neill akhirnya meletak jawatan.

Dalam ucapan perpisahan, beliau bercakap mengenai pencapaiannya sebagai perdana menteri, termasuk menganjurkan sidang kemuncak APEC pada 2018, satu usaha besar bagi sebuah negara membangun dengan keupayaan kerajaan pusat yang terbatas.

“Kita selama ini terkenal kerana sebab-sebab yang salah,” kata O’Neill.

Undi Parlimen mengenai perdana menteri baharu dijangka diadakan seawal pagi ini (Khamis).

Pembangkang yang berpecah belah telah menyokong pemimpin Parti Pakatan Nasional Patrick Pruaitch sebagai perdana menteri alternatif mereka.

Namun ia belum diketahui sama ada perjanjian itu akan bertahan ataupun tidak, kerana ketua-ketua pembangkang bakal bermesyuarat lewat hari ini untuk cuba mencapai konsensi.

Pakar berkata peletakan O’Neill boleh menyaksikan penamatan projek infrastruktur besar yang ramai percaya memanfaatkan hanya Port Moresby dan golongan elit yang berpengaruh di negara itu.

Sesiapa sahaja yang memegang kuasa kemungkinan besar akan meneliti semula bagaimana manfaat diagihkan daripada sebuah projek LNG yang akan hampir menggandakan eksport gas PNG. — AFP

Advertisement