Anda di sini

Proton lancar Exora Baharu 2019 dengan ‘Intelligence That Moves’

Advertisement
 Harga jualan Exora 2019  bermula dari RM59,800 untuk varian Executive 1.6T CVT dan RM66,800 untuk Premium 1.6T CVT.
PINTAR: Harga jualan Exora 2019 bermula dari RM59,800 untuk varian Executive 1.6T CVT dan RM66,800 untuk Premium 1.6T CVT.

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Berhad (Proton) sebagai pengeluar kenderaan jenama Proton telah melancarkan Proton Exora Baharu 2019 yang dilengkapi dengan konsep ‘Intelligence That Moves’ atau kepintaran yang membawa perubahan bagi memperlihatkan bukan sahaja ciri-ciri pintarnya tetapi juga prestasi dan keluasan terbaik dalam kelasnya yang menawarkan muatan sehingga tujuh orang dewasa.

Exora 2019 ini dilengkapi dengan sistem teknologi pintar (infotainment), menjadikan Proton pengeluar yang memperkenalkan ciri-ciri yang pertama untuk segmen pasarannya.

Didapati pada varian Premium 1.6T, kad eSIM yang terbina di dalamnya memastikan terdapat sambungan Internet mudah alih bagi memberi pengalaman multimedia yang tiada tandingan.

Aplikasi penstriman muzik, navigasi dalam talian dan kemas kini cuaca turut ditawarkan dan boleh diakses menerusi skrin sentuh 7 inci dengan paparan warna penuh. Sebagai kemudahan tambahan, sistem ini menawarkan sambungan telefon pintar serta fungsi pencerminan untuk peranti Android.

Sejak dilancarkan pada 2009 kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam segmen - C itu kini tampil dengan pengendalian talaan terkini, kombinasi meter terbaharu, sirip antena jerung, fungsi pelayaran automatik dan sistem ketersambungan pintar dengan fungsi arahan suara Hi Proton!.

Model ini merupakan satu-satunya model MPV dalam kelasnya yang dilengkapi enjin pengecas turbo 1.6 liter dan dengan 140PS pada 5,000 rpm dan 203Nm tork dari 2,000-4,000 rpm. Exora 2019 mampu memberi tindak balas dengan pantas terhadap sebarang pemanduan yang dilakukan.

Exora 2019 ditawarkan dengan pakej nilai tambahan yang unik. Terdapat empat pakej nilai tambahan standard bermula dengan pakej servis yang menawarkan caj pekerja percuma sebanyak tiga kali.

Selain itu, terdapat juga pakej data Internet dengan data percuma (1GB sebulan) selama lima tahun. Dua pakej akhir ialah pakej kadar faedah dengan kadar pembiayaan serendah 2.76 peratus dan pakej insurans yang menawarkan pelbagai kelebihan kepada pembeli yang menginsuranskan Exora 2019 mereka dengan panel-panel insurans Proton.

Di samping pakej nilai tambahan standard, Proton turut menawarkan pakej nilai tambahan istimewa. Pelanggan-pelanggan yang membeli Exora 2019 pada tahun ini akan diberi pakej servis pekerja percuma selama lima tahun atau sebanyak 11 kali manakala 1,000 pembeli pertama juga akan diberi cukai jalan percuma selama dua tahun untuk pembeli persendirian dan cukai jalan percuma selama setahun untuk pelanggan korporat.

Harga jualan bermula dari RM59,800 untuk varian Executive 1.6T CVT dan RM66,800 untuk Premium 1.6T CVT, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Digabungkan dengan pengurangan harga dan nilai ciri-ciri baharu yang diperkenalkan dalam setiap varian, Exora 2019 1.6T Executive memberikan nilai tambahan sebanyak RM4,233 berbanding versi terdahulu. Bagi Exora 2019 1.6T Premium, penjimatan tambahannya pula bernilai RM5,652.

  • oleh
  • Advertisement