Anda di sini

Henti istilah 'Lahad Datu Bandar Perang'

Advertisement
DUMI menyaksikan penyerahan replika cek sumbangan daripada Ismail kepada persatuan.
DUMI menyaksikan penyerahan replika cek sumbangan daripada Ismail kepada persatuan.

LAHAD DATU: Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Dumi Pg Masdal menggesa agar penggunaan 'Lahad Datu Bandar Perang' dihentikan kerana ianya langsung tidak releven pada bandar ini.

Menurutnya, penggunaan nama jolokan itu keterlaluan dan tidak menterjemah Lahad Datu sebaliknya hanya memberi persepsi negatif yang menjejaskan pembangunan di sini.

"Lahad Datu bukan bandar perang. Di sinilah bandar paling selamat dengan adanya ibu pejabat Esscom dan kawalan pasukan keselamatan 24 jam," katanya.

Dumi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lahad Datu berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Iftar Ramadan Bersama Persatuan Bekas Polis Cawangan Lahad Datu di Saujana Ballroom, pada Selasa.

Menurut beliau, selepas tragedi berdarah pencerobohan militan Sulu di Tanduo, aspek keselamatan menjadi agenda paling utama diberi perhatian di sini.

Katanya, nama jolokan sinis itu bukan suatu yang boleh dipandang remeh apatah lagi dipersendakan dan mengajak rakyat terutama pengguna media sosial bertindak matang.

Istilah 'Lahad Datu Bandar Perang' mula mendapat perhatian netizen media sosial yang berkongsi lokasi keberadaan mereka menggunakan pilihan nama sedia ada untuk dipilih.

Bukan sahaja di media sosial, difahamkan ada kenderaan menggunakannya sebagai hiasan stiker.

Pada majlis itu, Dumi menyeru ahli persatuan meneruskan usaha membantu kerajaan melalui platform berkesan persatuan itu.

Katanya, beliau yang juga bekas anggota polis menghargai persahabatan yang terjalin dan mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama demi kemajuan Lahad Datu.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada sahabatnya Pengurus Restoran Saujana Putra Ismail Md Daham yang melaksana Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat menganjurkan majlis itu.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor.

  • oleh
  • Advertisement