Anda di sini

Tekun Nasional bakal laksana program latihan usahawan suku kedua tahun ini

Advertisement
 Dr Nila Armila (tiga, kiri), bersama Najwah Halimah (dua, kiri) dan Zainal (tiga, kanan) memakaikan pakaian kepada anak-anak asnaf pada Program Bantuan Raya Anak-Anak Asnaf Parlimen Pulai di Mydin Mall Mutiara Rini semalam. — Gambar Bernama
BANTUAN: Dr Nila Armila (tiga, kiri), bersama Najwah Halimah (dua, kiri) dan Zainal (tiga, kanan) memakaikan pakaian kepada anak-anak asnaf pada Program Bantuan Raya Anak-Anak Asnaf Parlimen Pulai di Mydin Mall Mutiara Rini semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) bakal melaksanakan program latihan usahawan pada suku kedua tahun ini.

Timbalan Pengerusinya, Najwah Halimah Ab Alim berkata program tersebut akan dilaksanakan menerusi Unit Pembangunan, sebuah unit baharu dalam TEKUN, yang bukan sahaja melatih usahawan dalam aspek pembungkusan produk, malah turut mencakupi bidang pengurusan kewangan, pelabelan dan pemasaran.

“Matlamatnya adalah untuk memastikan semua usahawan ini berjaya memandangkan sebelum ini, kebanyakan usahawan tidak mempunyai ilmu pengetahuan. Nak berniaga tetapi akhirnya... perniagaan terbengkalai sebab tidak cukup ilmu.

“Jadi, kami mengambil inisiatif untuk membantu mereka supaya boleh berdaya saing di peringkat global, selaras dengan matlamat Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof yang mahu usahawan Malaysia terutama Melayu berkembang maju, bukan setakat berniaga di kawasan setempat dan kampung-kampung sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Program Bantuan Raya Anak-Anak Asnaf Parlimen Pulai di Mydin Mall Mutiara Rini di sini, semalam.

Najwah berkata program itu juga adalah sebahagian daripada usaha untuk menjenamakan semula TEKUN menjadi sebuah agensi yang tidak hanya memberi pembiayaan mikro tetapi pada masa sama menyediakan latihan kepada usahawan.

TEKUN yang diwujudkan sejak 1989 menyediakan pembiayaan kira-kira RM400 hingga RM500 juta setahun untuk 30,000 usahawan di seluruh negara dengan kira-kira RM60 juta daripadanya disalurkan kepada Johor untuk pembiayaan 3,000 hingga 4,000 usahawan, katanya.

Dalam pada itu, mengenai program bantuan Raya anak-anak asnaf Parlimen Pulai, Najwah berharap pihaknya dapat mengenal pasti golongan asnaf yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan.

Turut hadir, isteri Menteri Besar Johor Datin Dr Nila Armila Mukdan, Pengurus TEKUN negeri, Zainal Rahmat serta Pengurus Cawangan Mydin Mall Mutiara Rini, Kaalidass Ragu. — Bernama

Advertisement