Anda di sini

Pemenang Unduk Ngadau laksana tanggungjawab komuniti selama setahun

Advertisement
JO-ANNA (empat kiri) bersama ahli jawatankuasa penganjur yang lain serta peserta Unduk Ngadau 2019 merakamkan gambar kenangan.
JO-ANNA (empat kiri) bersama ahli jawatankuasa penganjur yang lain serta peserta Unduk Ngadau 2019 merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Pemenang pertandingan Unduk Ngadau Sabah 2019 akan terlibat secara langsung dengan program-program komuniti selama setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan Sabah 2019 Jo-Anna Henley Rampas berkata, antara program itu adalah seperti projek komuniti, duta pelancongan, khidmat masyarakat, pendidikan dalam kebudayaan dan kajian impak.

"Dalam usaha menjayakan program ini, kita akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui Program Kampung Sejahtera berobjektifkan pembangunan kampung luar bandar yang terpencil serta mundur.

"Berdasarkan perancangan ini, diharapkan jawatankuasa Unduk Ngadau tahun ini dapat menggalakkan golongan muda menyumbangkan sesuatu yang mempunyai impak kepada komuniti kawasan masing-masing," katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata, sekiranya pemenangnya adalah berasal dari kawasan bandar, maka satu perbincangan akan diadakan bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi menentukan kampung yang akan dipilih bagi program berkenaan.

Selain itu, katanya, jawatankuasa penganjuran juga akan mengetengahkan satu aktiviti penghasilan buku kajian etnik setempat yang akan dilaksanakan di peringkat daerah pemenang Unduk Ngadau kali ini.

"Tujuannya adalah bagi mengembangkan lagi kajian yang pernah dilakukan sebelum ini seterusnya mewujudkan buku kajian di daerah berkenaan dan disimpan sebagai harta intelek kawasan itu.

"Kita sedar mungkin ada sejarah budaya tradisi etnik kita yang kurang didokumenkan sebelum ini dan kita semakin menghadapi kesukaran mendapatkan maklumat daripada sumber relevan," katanya.

Menurutnya, kaedah itu penting agar hasil kajian itu nanti dapat dirujuk oleh generasi akan datang. Ia juga sebagai usaha memelihara kebudayaan tradisi etnik di daerah masing-masing.

  • oleh
  • Advertisement