Anda di sini

MPKK transformasi pembangunan lebih terancang

Advertisement
MADIUS (tengah) bersama Jo-Anna (empat dari kanan) dan Sofian (lima dari kiri) bergambar kenangan dengan para pengerusi MPKK selepas majlis penyerahan watikah di Dewan Pekan Kiulu.
MADIUS (tengah) bersama Jo-Anna (empat dari kanan) dan Sofian (lima dari kiri) bergambar kenangan dengan para pengerusi MPKK selepas majlis penyerahan watikah di Dewan Pekan Kiulu.

TUARAN: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diamanahkan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik selari dengan penambahbaikan institusi itu sendiri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata melalui penubuhan MPKK, kerajaan baharu Sabah telah membuat satu pembaharuan terutama dalam pentadbiran di peringkat akar umbi.

"Terdapat dua sejarah tercipta pada hari ini melalui kerajaan baharu Sabah, pertamanya penstrukturan pentadbiran daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada MPKK dan kedua adalah satu transformasi pembangunan yang lebih terancang dan teratur.

"Saya umpamakan MPKK ini sebuah kerajaan dan pengerusinya umpama ketua menteri manakala semua biro pula mewakili menteri dalam kabinet," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian watikah pelantikan kepada pengerusi MPKK bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu di Dewan Pekan  Kiulu, di sini pada Jumaat.

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, jika dibandingkan dengan JKKK, konsep MPKK dilihat lebih teratur dan mempunyai penambahbaikan. Semuanya mempunyai fokus masing-masing berdasarkan keperluan semasa di peringkat kampung.

Namun, katanya, semua itu hanya berkesan sekiranya semua lapisan masyarakat cuba bermula untuk mengubah minda dan pemikiran yang akhirnya akan membawa kemajuan mampan di segenap pelosok kampung.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, setiap pengerusi MPKK perlu mengadakan pelan perancangan pembangunan di bawah pentadbiran masing-masing, bermesyuarat enam kali setahun dan mewujudkan agenda-agenda penting untuk lima tahun seterusnya yang memfokuskan kepada pembangunan iaitu keselamatan, kesihatan, infrastruktur, ekonomi, pendidikan dan inovasi, hal ehwal wanita dan e-Kasih.

"Kita kena merancang dengan baik...bukan hari ini rancang esok boleh buat. Bayangkan sahaja jalan raya Kiulu-Telipok- Rondogung itu hanya berhasil setelah 15 tahun dirancang dengan teliti," katanya.

Menurutnya, program dan pembangunan kawasan memerlukan satu perancangan teliti dan berterusan, justeru semua pihak perlu saling bekerjasama demi kebaikan jangka masa panjang.

Sementara itu, pelantikan berkenaan melibatkan enam mukim yang terdiri daripada Mukim Ulu, Mukim Lembah, Mukim Nabalu, Mukim Pantai, Mukim Tengah dan Mukim Pekan manakala seramai 78 pengerusi MPKK menerima watikah pelantikan secara rasmi.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Jo-Anna Sue Henley-Rampas, Pegawai Daerah Tuaran Mohd Sofian Alfian Nair, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Suali Sikir serta ketua-ketua Anak Negeri DUN Kiulu.

Advertisement