Anda di sini

Marvin terima Anugerah Khas Pengarah Pendidikan Labuan

Advertisement
MARVIN menerima Anugerah Khas daripada Raisin sambil diperhatikan ibu bapanya, Ag Marten (kanan) dan Sawal (dua kanan).
MARVIN menerima Anugerah Khas daripada Raisin sambil diperhatikan ibu bapanya, Ag Marten (kanan) dan Sawal (dua kanan).

LABUAN: Marvin Hing Majin menerima Anugerah Khas Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Raisin Saidin pada Majlis Perhimpunan Bulanan JPWPL (bulan Mei) di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Labuan.

Beliau menerima anugerah itu selepas meraih pingat perak Kategori Lelaki Bawah 18 Tahun dalam acara lompat jauh di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 yang berlangsung di Johor Bahru pada 21 April lalu dengan jarak 6.83 meter jauh mengatasi jarak terbaiknya sebelum ini hanya 6.24 meter.

Marvin yang dilahirkan pada 18 Disember 2002 di Kota Kinabalu, Sabah menerima sijil dan ganjaran wang tunai sebanyak RM700.

Beliau yang merupakan anak kedua daripada dua adik beradik menerima anugerah itu bersama-sama ibu, Teo Boon Leng seorang pegawai bank dan bapanya, Majin Basayu, eksekutif pengeluaran.

Marvin yang mendapat pendidikan di SKK SK St Anne mula berkecimpung dalam olahraga dan lompat jauh ketika berumur 12 tahun di bawah bimbingan jurulatih Cikgu Faizal Abu Bakar, Cikgu Hafiz dan Cikgu Bedevonsoon.

Memperolehi pingat perak lompat jauh MSSM 2019 itu merupakan pencapaian tertinggi dalam kariernya setakat ini.

Selain cemerlang dalam bidang sukan, Marvin juga cemerlang dalam bidang akademik apabila memperolehi 9A dalam peperiksaan PT3 pada tahun 2017 dengan mendapat Gred A SEGAK dan Gred A PAJSK.

Beliau pernah menduduki tempat ketiga dalam acara badminton pada 2017 dan mewakili Labuan dalam acara catur pada 2017 dan 2018.

Kecemerlangan beliau diteruskan dengan menduduki tempat pertama dalam National Science Challenge 2018 dan johan Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Ala Parlimen pada 2016 dan 2017.

Di Kejohanan MSS Labuan pada 2016, beliau mendapat pingat perak dalam acara lompat kijang manakala pada 2017 memperolehi pingat emas dalam acara lompat jauh dan lompat kijang.

Pada tahun lalu pula, beliau mendapat pingat perak dalam acara lompat tinggi.

Tahun 2019, kehebatan Marvin semakin terserlah selepas memperolehi pingat emas dalam acara kegemarannya, lompat jauh dan lompat kijang.

Beliau berharap akan dapat mengharumkan nama sekolah dan Wilayah Persekutuan suatu hari nanti.

“Saya juga berharap mampu menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa sebagai seorang atlet dan mendapat keputusan yang cemerlang pada sukan SUKMA 2020,” katanya penuh harapan.

Dalam bidang akademik pula, beliau berharap akan memperolehi keputusan dalam peperiksaan SPM 2019 dan dapat melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.

Katanya, antara faktor kejayaan dalam lompat jauh MSSM itu ialah sokongan moral daripada ibu bapa dan rakan-rakan.

Selain itu, inisiatif dan usaha para jurulatih untuk melatih beliau pada sesi-sesi latihan sejak tahun 2015 hingga 2019.

“Ucapan terima kasih kepada Pengetua SMK Labuan Ismail Abdullah dan pihak sekolah kerana membantu dari segi kemudahan latihan dan motivasi serta Jabatan Pendidikan Labuan kerana memberi peluang menyertai

Kejohanan Olahraga MSSM 2019,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada barisan jurulatih yang pernah membimbing beliau termasuk Cikgu Faizal Abu Bakar.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Penolong Pengarah BTPN Labuan Ag Marten Abd Rahman dan Ketua Sektor Peperiksaan Sawal Salleh.

Advertisement