
KOTA MARUDU: Kerajaan negeri akan terus menyokong usaha persatuan-persatuan etnik di Sabah mempromosikan keunikan kebudayaan sendiri melalui penganjuran pelbagai program berbentuk kebudayaan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick berkata, ia penting untuk memastikan warisan kebudayaan setiap etnik di negeri ini tidak hilang ditelan zaman.
“Sambutan Pesta Kaamatan atau Pesta Monguyas Norutip dalam masyarakat Tobilung disambut atau dianjurkan semua lapisan masyarakat di pelbagai peringkat organisasi, jabatan, institut pengajian tinggi, keluarga dan persatuan di Sabah.
“Ini menunjukkan satu kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat kita dalam usaha memartabatkan warisan dan budaya melalui penganjuran pelbagai perayaan kebudayaan termasuk Pesta Kaamatan, Pesta Monguyas Norutip dan Pesta Magahau anjuran persatuan-persatuan etnik berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Monguyas Norutip Peringkat Negeri Sabah 2019 anjuran Persatuan Tobilung Bersatu Sabah (Tobisa) di Astaka Utama, Dataran Kota Marudu, di sini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tandek Datuk Anita Baranting, Pegawai Daerah Kota Marudu Arnold Joibi, Presiden Tobisa Muji NC Ampu, Pengerusi Penganjur merangkap Timbalan Presiden Tobisa Jaiping Minsu dan para pemimpin masyarakat setempat.
Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, kerajaan amat menggalakkan dan menyokong penuh usaha persatuan-persatuan etnik di negeri ini menganjurkan acara kebudayaan masing-masing.
“Acara atau program kebudayaan ini bukan sahaja dalam bentuk sambutan seperti pada hari ini tetapi boleh dilaksanakan melalui pendokumentasian atau promosi keunikan kebudayaan melalui penyertaan masyarakat berkenaan dalam acara kebudayaan di peringkat dunia.
“Misalnya, penyertaan Tobisa dan persatuan etnik lain dalam pertandingan Pesta Tari Dunia beberapa tahun lalu,” katanya.
Pada tahun 2017, Matinin Sungkin, dari Kota Belud dinobatkan sebagai pemenang pingat emas pertandingan Tarian Piala Dunia (DWC) yang berlangsung di Offenburg, Jerman.
Matinin yang menyertai kumpulan penari Tobisa menang bagi kategori solo junior pada pertandingan itu.
Selain Matinin, Tobisa turut merangkul pingat emas bagi kategori Dance Impact dan dipilih penerima Anugerah Pilihan Pengerusi, selain pingat gangsa kategori solo kanak-kanak.