Anda di sini

Hubungan yang penuh dengan penderaan

Advertisement
 

LEBIH 18 bulan Suri (bukan nama sebenar) terperangkap dalam “hubungan yang penuh dengan penderaan”. 

Peniaga berusia 25 tahun itu berkata "setiap hari bagaikan mimpi ngeri. Saya pernah dipukul di kepala dengan kunci stereng dan dia juga menumbuk perut saya.

“Dia paksa saya berhenti belajar dan malahan juga berhenti kerja. Dia amat cemburu dan cepat berang atas sebab yang tidak masuk akal.”

Meskipun menderita didera, Suri merahsiakan perihal teman lelaki yang sering menderanya. Jika ibu bapanya bertanya tentang mukanya yang lebam dan bengkak, dia hanya berkata lebam dan bengkak kerana kecederaan akibat kejohanan silat yang disertainya.

Suri, yang ketika itu berusia 19 tahun, pernah cuba “melarikan” daripada teman lelakinya dengan berpindah ke tempat baharu. Cubaannya gagal kerana teman lelakinya dapat mencari tempat persembunyiannya dan mengugut mahu memukul dan membunuh emak dan ayahnya.

Suatu hari, teman lelaki Suri mengajaknya pergi ke rumahnya kerana mahu memperkenalkannya kepada ibunya.

“Sementara menunggu ibunya sampai, dia suruh saya ambil alat kawalan jauh tv, bila saya enggan, dia naik marah dan cuba tumbuk saya. Saya ambil kerusi kayu dan hempuk muka dia dan dia jatuh.

"Dia bangun, tolak saya ke lantai dan meluru ke dapur untuk ambil pisau. Dia nekad mahu bunuh saya. Saya lari ke luar rumah dan menjerit minta tolong. Nasib baik ada jiran yang datang dan tarik saya masuk ke rumahnya. Jiran saya telefon polis,“ kata Suri sambil menitiskan air mata. Kisah pahit itu berlaku kira-kira enam tahun lalu.

Ayahnya kemudian memberi amaran kepada bekas teman lelakinya yang mereka akan membuat laporan polis sekiranya dia terus mengganggu Suri. Selama dua minggu, dia memilih untuk berkurung di rumah, bimbang bertemu dengan bekas teman lelakinya.

“Dia tak berhenti hantar saya mesej, mahu saya kembali kepadanya. Jiran saya ada beritahu nampak kelibat dia berhampiran rumah saya. Saya beritahu dia saya akan buat laporan polis kalau dia terus hubungi saya, “ tambah Suri.

Selepas itu, bekas teman lelakinya terus menghilangkan diri.

KES TIDAK DILAPORKAN

Bukan mudah Suri untuk melepaskan diri daripada belenggu teman lelakinya dan dia hanya berjaya berbuat demikian selepas lebih 18 bulan. 

Sering mereka yang terperangkap dalam hubungan yang melibatkan pasangan yang ganas tidak mempunyai pilihan selain daripada tinggal dengan pasangan itu. Antara sebabnya mungkin bimbang nyawa terancam jika cuba melarikan diri.

Berbanding keganasan rumah tangga di mana pasangan atau anggota keluarga dilindungi secukupnya oleh Akta Kegansan Rumah Tangga 1994, mereka yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan dan menghadapi penderaan tidak boleh mendapatkan bantuan pihak berkuasa.

Secara umumnya, masyarakat mempunyai sikap tidak peduli terhadap hubungan seumpama itu kerana berfikiran orang yang didera dengan mudah boleh meninggalkan pasangan mereka.

Menurut pengarah eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) , Sumitra Visvanathan, terdapat banyak kes hubungan yang melibatkan penderaan di Malaysia tetapi banyak tidak dilaporkan.

"Kami memandang berat perkara ini," beliau memberitahu Bernama, sambil menambah kes seumpama itu tidak mendapat banyak perhatian daripada pihak berkuasa.

“Saya tahu banyak kes tidak dilaporkan. Lagi pun perundangan yang meliputi keganasan domestik tidak meliputi mereka kerana mereka tidak ada ikatan perkahwinan, “ katanya.

Sambil menggesa kerajaan meminda Akta Keganasan Rumah Tangga supaya ia meliputi pasangan tidak berkahwin dan menjadi mangsa penderaan, Sumitra berkata perlu ada juga undang-undang anti menghendap.

Pada Januari lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dipetik sebagai berkata kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan undang-undang anti menghendap. Perbuatan menghendap perlu diklasifikasikan sebagai jenayah kerana ia boleh membuatkan mangsa berasa diri terancam, katanya.

DERA BUKAN SELALU FIZIKAL 

Penderaan tidak semestinya melibatkan perbuatan fizikal seperti memukul dan menumbuk. Mendera pasangan secara mental atau psikologikal juga adalah bentuk penderaan.

Menurut WAO, kira-kira 93 peratus wanita yang tinggal di rumah perlindungan dilaporkan didera secara psikologi pasangan mereka bertahun-tahun lamanya,meskipun mereka tidak dicederakan secara fizikal. Tidak ada seorang pun daripada wanita itu sedar yang mereka didera.

Dr Ahmad Rostam Md Zain, pakar sakit jiwa di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, berkata apabila wanita terlibat dalam hubungan yang diri mereka didera untuk masa yang panjang, ia mungkin akan membuatkan wanita itu beranggapan apa yang berlaku sebagai satu perkara biasa.

Keadaan ini menjurus kepada sindrom wanita teraniaya, di mana mangsa membenarkan diri mereka didera atau tidak bersedia untuk melarikan diri daripada keadaan itu jika pun dia boleh berbuat demikian.

Menurut beliau, mangsa mungkin berfikir pasangan mereka akan berubah dalam masa terdekat. Bagi mereka penderaan itu adalah salah satu pengorbanan yang mereka perlu lakukan.

“Mangsa sindrom ini adalah unik - mereka tak suka didera tetapi mahu didera. Mereka mencari pasangan yang mempunyai kecenderungan untuk mendera selepas mereka berjaya melepaskan diri daripada hubungan yang melibatkan penderaan.

“Inilah sebabnya mengapa setiap kali kami mendapat kes yang melibatkan mangsa penderaan, kami akan minta mereka menjalani penilaian kesihatan mental bagi mengelakkan keadaan yang sama berulang,“ katanya.

Malang sekali sukar untuk menentukan penderaan psikologi kerana sering tidak ada cukup bukti seperti kecederaan untuk menghukum pendera.

Dalam kes seumpama itu, paling elok untuk mangsa menjalani pemeriksaan psikologi untuk menilai keadaan mental mangsa, tambah Dr Ahmad Rostam. - Bernama 

  • oleh
  • Advertisement