Anda di sini

Guan Eng umum RM10.8 juta bagi pembelian alat perubatan HDOK

Advertisement
GUAN Eng bersama Frankie serta wakil-wakil rakyat dalam sidang media itu.
GUAN Eng bersama Frankie serta wakil-wakil rakyat dalam sidang media itu.

SANDAKAN: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kelulusan peruntukan RM10.8 juta untuk pembelian alat perubatan hospital dan pembinaan kepada Hospital Duchess of Kent (HDOK) hari ini.

“Pembelian alat perubatan hospital sebanyak RM7.4 juta adalah bertujuan menggantikan alat perubatan dan kelengkapan hospital yang rosak.

“Sementara kos pembangunan sebanyak RM3.4 juta adalah untuk pembinaan bangunan rekod perubatan dan klinik telinga-hidung-tekak (ENT) baharu,” katanya kepada media selepas melawat Pasar Elopura, pagi tadi.

Beliau berkata peruntukan itu terdiri daripada RM6.0 juta daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan RM4.8 juta daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pembelian alat perubatan seperti yang diperlukan hospital berkenaan.

“Pembelian dan renovasi untuk mesin imbas MRI bernilai sebanyak RM3 juta, sebuah mesin ultrasound mudah alih bernilai RM300,000, dua set kraniotomi bernilai RM500,000 dan memperbaiki kemudahan hospital,” jelasnya.

Guan Eng berharap agar pembelian peralatan perubatan itu boleh sampai serta disiapkan sepenuhnya dalam tahun ini, yang mana cuma imbasan MRI sahaja yang siap pada tahun 2020.

“Saya juga berharap pembinaan blok baharu dapat mulakan pembinaannya pada tahun ini atau awal tahun hadapan," katanya.

Bagi pembinaan parkir kereta baharu, Guan Eng berkata ia akan dilakukan secara penswastaan melalui Kementerian Kesihatan.

“Tapak tanah yang bakal dibeli nanti tidak akan berada di atas bukit kerana akan menanggung kos yang tinggi.

“Tapak tanah sedang dikenal pasti dan perbincangan lanjut akan diadakan bersama wakil-wakil rakyat kawasan DUN dan Parlimen Sandakan termasuk Datuk Frankie Poon Ming Fung selaku Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah,” katanya.

Guan Eng berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan dan pembelian tapak tanah itu akan mengikut kementerian.

Beliau berkata kelulusan peruntukan itu diharapkan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada para pesakit, sekali gus meningkatkan kualiti hidup lebih 400,000 penduduk di daerah ini.

“Ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk berkongsi kemakmuran dan memastikan akses kepada perkhidmatan perubatan yang diperlukan disediakan untuk lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon Ming Fung, Menteri Belia dan Sukan Phoong Jin Zhe dan Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee.
 

  • oleh
  • Advertisement