Anda di sini

Warga emas hilang ditemukan mati

Advertisement
MAYAT mangsa diangkat dari perahu ke atas daratan sebelum diserah kepada keluarga mangsa.
MAYAT mangsa diangkat dari perahu ke atas daratan sebelum diserah kepada keluarga mangsa.

BELURAN: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu di hutan berhampiran Kampung Tolongan Pamol di sini ditemukan mati pagi Ahad.

Mayat Gabertan berumur 80-an ditemukan orang awam pada jam 11.15 pagi di kawasan sungai yang terletak 3 kilometer dari rumahnya.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sandakan Anddre Andrew berkata pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada 2.20 petang Jumaat berhubung kejadian itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 130 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran.

“Sebuah kereta bomba bersama tiga anggota yang diketuai oleh PBKII Rahmat Rudat telah ke lokasi itu bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dipercayai hilang di hutan Kampung Tolongan Pamol,” katanya.

Beliau berkata setibanya di tempat kejadian pasukan bomba bertindak mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu dan seterusnya menjalankan operasi pencarian.

“Menurut maklumat daripada orang awam, seorang mangsa lelaki berumur lingkungan 80 tahun dipercayai telah hilang di hutan,” katanya.

Anddre berkata operasi SAR ditangguhkan pada jam 6.05 petang dan akan disambung pada keesokan harinya, dan mayat mangsa telah ditemukan terapung di dalam sungai yang terletak 3 kilometer dari rumah warga emas itu.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada keluarga mangsa untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata operasi SAR kemudiannya ditamatkan sepenuhnya jam 11.30 pagi.

  • oleh
  • Advertisement