
PENAMPANG: Persembahan tarian daripada Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk dinobatkan sebagai juara pertandingan Tarian Etnik Kreatif KDM sempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2019.
Melalui persembahan Sodop Rilin Murug bermaksud Cahaya Penghijrahan Baru yang ditonjolkan oleh kumpulan Gentar dari SM Lok Yuk, Kota Kinabalu ternyata memukau para juri dengan gaya tarian yang begitu mengagumkan.
Sempena pertandingan itu, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Jannie Lasimbang hadir menyempurnakan majlis perasmiannya di pentas luar bangunan KDCA, malam Sabtu.
Menurut Jannie, pertandingan tarian tradisi kreatif bukan bertujuan mengubah atau merosakkan tarian tradisi etnik kerana pengubahsuaian yang dilakukan mengikut kreativiti.
"Sebaliknya adalah untuk memberi nilai tambah supaya terus relevan dalam kalangan generasi muda akan datang.
"Pertandingan ini dapat mewujudkan idea yang kreatif dan inovatif dalam persembahan seni tarian.
"Selain itu, pesta ini merupakan satu acara yang diadakan untuk menjalin dan mengekalkan ikatan silaturahim sesama etnik dan memupuk serta mengukuhkan perpaduan etnik-etnik yang terdapat di Sabah," katanya.
Turut hadir, Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) Mansur Asun, Timbalan Pengurus Besar LKNS Mackey Apison dan Timbalan Pengerusi LKNS Wolfred Gantiu.