Anda di sini

Sering didera, berlaku curang, isteri tikam suami

Advertisement
SUSPEK dan bahan bukti yang dirampas.
SUSPEK dan bahan bukti yang dirampas.

LAHAD DATU: Seorang isteri warga asing nekad menikam suaminya gara-gara tidak tahan sering didera dan berlaku curang sejak 2014.

Kejadian berlaku di bilik sewa atas kedai Bandar Cenderawasih, Felda Sahabat Tungku pada Jumaat, jam 7.20 malam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata mangsa, 32, seorang pengawal keselamatan disyaki ditikam suspek menggunakan pisau pemotong sayur di bilik sewaan di atas katil.

"Semasa kejadian, mangsa sedang baring di atas katil di dalam bilik dalam keadaan mata tertutup sementara suspek telah mengambil sebilah pisau pemotong sayur yang terletak di dapur lalu bertindak menikam mangsa di bahagian perut sebelah kanan," katanya di sini pada Ahad.

Menurutnya, mangsa sempat mencabut pisau yang menikamnya sebelum berlari keluar bilik menuju ke sebuah klinik mendapatkan rawatan dan dirujuk ke Hospital Lahad Datu akibat kecederaan di bahagian perut.

Katanya, Dr Sheethal Gloria Dimmen dari Hospital Lahad Datu kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada Sabtu, kira-kira jam 5.05 pagi.

Susulan kes itu, suspek ditahan di bilik pada hari kejadian kira-kira jam 9.10 malam (sebelum mangsa meninggal) untuk siasatan mengikut Seksyen 326/326A Kanun Keseksaan.

Klasifikasi kes ditukar mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mangsa meninggal dunia.

Turut dirampas sebilah pisau berukuran panjang 25cm termasuk hulu.
 

  • oleh
  • Advertisement