Anda di sini

Sabah ada hak ketahui sebarang penangguhan atau pembatalan projek

Advertisement
SHAFIE bersama Junz (dua kanan) ketika mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Sembulan.
SHAFIE bersama Junz (dua kanan) ketika mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Sembulan.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mempunyai hak untuk mengetahui sebarang projek mega yang dilaksanakan oleh kerajaan Pusat di Sabah sama ada ditangguh atau dibatalkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dilaksanakan di peringkat pusat dan ia tidak menjadi masalah kepada kerajaan negeri sekiranya projek itu ditangguh atau dibatalkan.

"Sekurang-kurangnya perkara seumpamanya harus dimaklumkan kepada kita kerana Sabah adalah negeri yang terlibat dalam pelaksanaan itu.

"Ini yang kita bimbang... laksana pun kita tidak tahu, batal pun kita tidak tahu... sekurang-kurangnya bagi tahu kita," katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan mesra di Bazar Ramadan Sembulan, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang menamatkan kontrak pembinaan TSGP dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) di Sabah, baru-baru ini.

Shafie berkata, kerajaan negeri sedar bahawa terdapat keperluan TSGP dilaksanakan di Sabah memandangkan ia mampu mewujudkan industri hiliran di sepanjang kawasan yang terlibat.

Bagaimanapun, katanya, projek berkenaan diuruskan oleh kerajaan Pusat dan kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang maklumat mengenainya.

"Kita cuma tahu perbelanjaan untuk projek itu sudah dilakukan tetapi berapa jumlahnya kita tidak tahu sebab ia diuruskan pada peringkat Pusat.

"Tetapi ia bukan menjadi keutamaan kita sebaliknya kerajaan negeri memberikan tumpuan kepada pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo agar pembinaan ini dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata, antara projek lain yang diberikan keutamaan adalah pembinaan empangan di Papar bagi menampung keperluan bekalan air dan penjanaan kuasa.

Selain itu, katanya, projek membesarkan Lapangan Terbang Sandakan dan Tawau juga perlu disegerakan memandangkan ia adalah prasarana diperlukan bagi mengembangkan lagi sektor pelancongan di Sabah.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong, Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah serta Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.
 

  • oleh
  • Advertisement