Anda di sini

RM120,000 bantuan kewangan kepada masjid, surau dan badan keagamaan bukan Islam

Advertisement
PENYAMPAIAN bantuan kewangan kepada wakil-wakil Gereja Antara Sandakan.
PENYAMPAIAN bantuan kewangan kepada wakil-wakil Gereja Antara Sandakan.

SANDAKAN: Sebanyak RM120,000 telah disumbangkan kerajaan Persekutuan kepada masjid dan surau serta badan-badan keagamaan bukan Islam di daerah ini.

Berucap pada majlis penyampaian itu, Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng berkata beliau turun padang ke Sandakan bagi membantu Ahli Parlimen Sandakan yang baharu, Vivian Wong Shir Yee untuk menyerahkan sumbangan kewangan itu kepada wakil-wakil penerima.

Katanya, ketika ini Vivian masih belum mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen menyebabkan beliau tidak dapat membuka akaun bank sekali gus kerajaan tidak dapat menyalurkan peruntukan kepadanya.

"Berikutan kekangan prosedur dan masalah dalaman, Vivian belum boleh buka akaun. Jadi beliau belum boleh buat kerja. Itu yang beliau minta bantuan daripada saya dan saya cuba membantunya.

"Ini adalah cara untuk sementara waktu dan saya rasa rakyat pun boleh faham. Kita sudah bincang dengan pihak Jabatan Perdana Menteri kalau Vivian boleh buka akaun dahulu, tetapi masih dalam pertimbangan. Sebab kalau mahu tunggu sampai Julai untuk angkat sumpah, masih ada dua bulan lagi mahu tunggu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Pemberian Sumbangan Kepada Badan-Badan Agama P.186 Sandakan di Pusat Kegiatan Belia Kementerian Belia dan Sukan Bahagian Sandakan di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung, Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe serta Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee.

Dalam pada itu, Lim berkata pihak kerajaan akan berusaha untuk memenuhi semua janji dan menjalankan projek-projek yang telah diputuskan sebelum ini.

Beliau berkata pihaknya juga melahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang telah memainkan peranan hingga menyumbang kepada kemenangan Vivian pada pilihan raya kecil yang lalu.

"Pada masa yang sama, saya ingin menekankan kerajaan Persekutuan dan negeri akan terus tekad untuk menunaikan janji yang dinyatakan selain daripada projek-projek yang ditetapkan di bawah Belanjawan 2019, kita pun seperti hari ini telah menunjukkan komitmen kita untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Sebab itu, dengan adanya sokongan dan kerjasama rakyat yang berterusan, kita akan dapat lihat wajah baharu Sandakan yang lebih dinamik," jelasnya.

Pada majlis itu, sejumlah RM60,000 diberikan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam termasuk Gereja Antarabangsa Sandakan (SIC) selain tokong Buddha, Hindu dan Sikh serta gereja bukan denominasi.

Sementara pada satu lagi majlis di Dewan Masjid Daerah Sandakan, sejumlah RM60,000 turut disampaikan kepada 30 masjid dan surau.
 

  • oleh
  • Advertisement