Anda di sini

PPM rampas 120kg ikan, ditangkap guna bahan letupan

Advertisement
TONG ikan basah yang ditemukan anggota PPM dalam kenderaan pasangan suami isteri terbabit.
TONG ikan basah yang ditemukan anggota PPM dalam kenderaan pasangan suami isteri terbabit.

KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat berjaya merampas sebanyak 120 kilogram ikan basah dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, rampasan terbabit diperoleh selepas pihaknya menahan pasangan suami isteri di Jalan Tinangol Indarason Matunggong di sini pada jam 2.40 petang Sabtu.

"Tangakapan dijalankan dalam Ops Landai Khas oleh sepasukan anggota diketuai oleh seorang pegawai dari Unit Risikan Marin (URM) PPM Kudat.

"Pasangan suami isteri warga tempatan terbabit masing-masing berumur 64 dan 43 tahun dipercayai memiliki ikan yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, polis berjaya mengesan dan menahan sebuah kenderaan yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan pihaknya, kira-kira 120 kilogram ikan basah pelbagai jenis dengan nilai anggaran sekitar RM1,200 ditemukan di dalam kenderaan itu.

Pihaknya turut merampas kenderaan milik suspek, dua tong ikan serta sebuah alat penimbang ikan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM16,700.

Mohamad Pajeri berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan dan akan memastikan mereka yang terlibat dijatuhkan hukuman yang semaksima mungkin.

Beliau turut menegaskan dan memberi peringatan kepada mana-mana orang khususnya para nelayan agar menghentikan aktiviti pengeboman ikan dengan segera sebelum tertangkap.

Kesemua rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat dan akan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kudat untuk tindakan selanjutnya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26 (1) (c) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan memiliki ikan yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan.

  • oleh
  • Advertisement