SEMPORNA: Pembangunan yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah bersifat pembangunan terancang dan sistematik.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, perancangan yang memberi fokus jangka masa panjang itu sudah pasti merancakkan ekonomi sekali gus meningkatkan pendapatan negeri.
"Melalui perancangan ini, kita boleh menghapuskan tanggapan luar yang mengatakan Sabah kaya dengan sumber tetapi masih ramai rakyatnya hidup susah.
"Cuma yang penting sekarang ialah pemikiran kita juga kena berubah... sekalipun ada perancangan tapi rakyat masih berfikiran di takuk lama, mengharap kerajaan beri bantuan, maka kita tidak dapat melahirkan produktiviti negara dari sudut meningkatkan ekonomi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan bersama Pengerusi Masjid dan Ketua Cawangan Warisan Dewan Undangan Negeri Sulabayan, di sini pada Sabtu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata, sistem pentadbiran negeri juga masih dalam kajian dan penstrukturan semula sejak Warisan mengambil alih pucuk kepimpinan negeri daripada kerajaan terdahulu.
Katanya, langkah itu akan melibatkan kajian semula peranan agensi-agensi yang kurang memberi pulangan kepada ekonomi negeri.
"Langkah awal ini kita laksanakan dengan mengenal pasti potensi bagaimana meningkatkan kedayaupayaan sektor atau syarikat-syarikat di bawah kerajaan negeri Sabah ini.
"Ia kerana, kita tidak boleh hanya bergantung semata-mata kepada hasil yang diberikan oleh Kerajaan Pusat dan juga hasil kutipan di peringkat negeri ini," katanya.
Tambahnya, meningkatkan kebolehpasaran syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga menjadi fokus utama disebabkan kemampuan agensi itu yang boleh berdaya saing dalam meningkatkan potensi keuntungan melalui perniagaan.
Selain itu, Jaujan berkata pembangunan komprehensif dan seimbang antara luar bandar dan bandar turut diberi penekanan supaya kedua- dua kawasan itu menerima nikmat pembangunan yang sama rata.
Katanya, bukan setakat pembinaan rumah, sekolah dan kemudahan asas lain, malah kerajaan kini dalam usaha menarik pelabur untuk membina pelbagai kilang industri di negeri ini.
"Bila sudah ada banyak kilang, maka tanah-tanah yang ada dapat kita bangunkan dengan membina perumahan mampu milik. Jadi, akhirnya masalah penghijrahan dan setinggan dapat dikurangkan.
"Inilah pendekatan yang kita buat sekarang bagi mengurangkan pengangguran, sekali gus meningkatkan pemilikan rumah serta pendapatan rakyat di negeri ini," katanya.
Bagaimanapun, katanya, kesedaran mengubah pemikiran rakyat di takuk lama juga perlu seiring dengan pembangunan yang sedang dirancang bagi memanfaatkan semua hasil kekayaan semula jadi yang ada.
Jaujan berkata, rakyat perlu berubah yang tidak hanya berperanan sebagai pengimport hasil semula jadi seperti kayu balak, kayu kayan dan sebagainya untuk mendapat hasil pendapatan, tetap perlu berfikiran kritis menjadi pengeksport pengeluaran hasil hiliran itu.
"Perkara ini seharusnya tidak berlaku. Jika kita sudah ada kesedaran dan kemahiran sudah tentu kita tidak lagi jadi pengimport tetapi pengeksport dengan mewujudkan banyak kilang memproses kayu kayan dan hasil lain.
"Akhirnya dari segi tukaran mata wang, nilai wang kita akan semakin tinggi sebab kita dapat jual barang ke luar negara dan wang masuk ke dalam negara kita.
"Jadi, kita perlu berusaha melahirkan lebih ramai pekerja mahir dalam pelbagai profesion bagi memenuhi sebahagian tuntutan pelabur sekiranya mereka datang ke sini," katanya.
Terdahulu, seramai lebih 300 orang yang hadir pada majlis berbuka puasa itu menerima bantuan duit raya dan barangan berupa keperluan harian.