Anda di sini

KKTP bincang dengan PBT Lahad Datu tangani isu kebersihan pasar ikan

Advertisement
JAUJAN meninjau Pasar Ikan Lahad Datu. Turut sama ialah Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Dumi Pg Masdal (kanan) dan Masnah (kiri).
JAUJAN meninjau Pasar Ikan Lahad Datu. Turut sama ialah Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Dumi Pg Masdal (kanan) dan Masnah (kiri).

LAHAD DATU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) Lahad Datu bagi menangani masalah kebersihan pasar ikan di daerah ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan ketika turun padang mengunjungi pasar ikan itu cukup sedih melihat keadaan kebersihan yang tidak diselenggara baik berikutan aduan yang diterima daripada orang awam.

"Kita akan bincang dengan PBT mengenai masalah yang timbul di sini (Pasar Ikan). Saya nampak memang tidak bersih kerana penyelenggaraan yang tiada, walaupun bangunan pasar ini masih dalam keadaan baik.

"Jadi, kita harap PBT mengambil perhatian isu kebersihan kerana pasar ini sangat penting bagi kehidupan harian kita," katanya ketika ditemui semasa membuat tinjauan di Pasar Rakyat, Ikan dan Ayam Lahad Datu, di sini pada Ahad.

Selain itu, Jaujan berkata, isu pendawaian elektrik dan bekalan air yang disuarakan oleh peniaga di pasar ikan berkenaan turut akan dibangkitkan semasa perbincangan yang diadakan dalam masa terdekat ini.

Katanya, isu yang berhubung kait dengan keselamatan dan kesihatan itu perlu ditangani segera bagi memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.

"Inilah hasrat KKTP yang mahu memastikan keadaan pasar sentiasa dalam keadaan baik, bersih dan selamat bagi memastikan pendapatan peniaga pasar meningkat.

"Jika persekitaran bersih, kita juga dapat menarik orang ramai datang ke pasar ini yang sememangnya berpotensi besar untuk dimajukan ekoran pelbagai pilihan ikan yang berkualiti tinggi," katanya.

Selain mengunjungi Pasar Rakyat, Ikan dan Ayam Lahad Datu, Jaujan bersama Setiausaha Tetap KKTP Maznah Mat Salleh turut mengunjungi salah satu bazar yang dibuka di pekan berkenaan.
 

  • oleh
  • Advertisement