Anda di sini

Pemuda mengaku tidak bersalah curi rim kereta

Advertisement

KUCHING: Seorang pemuda mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri rim kereta di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Jonathan Lee Sian Kwang, 22, didakwa cuba mencuri dua unit set rim kereta yang diletakkan di kawasan tempat letak kereta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).

Majistret Mohd Syukri Mokhtar membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin tempatan.

Mahkamah turut menetapkan agar tertuduh yang bekerja sendiri itu melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap dua minggu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hafiz Musa.

Selain dituduh mencuri, Jonathan turut didakwa di Mahkamah Majistret berasingan atas kesalahan memiliki barang curi iaitu satu set rim yang didapati hilang pada 8 Februari lepas.

Dia melakukan kesalahan terbabit di tempat letak kereta KIA, 11 Mei lepas pada jam 1.30 petang.

Majistret Zubaidah Sharkawi kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan dua penjamin tempatan.

Untuk kesalahan terbabit, Jonathan didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Ilham Kamaruddin.

Syukri dan Zubaidah masing-masing menetapkan 13 Jun dan 14 Jun depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Bagi kedua-dua kes, tertuduh diwakili peguam, Lim Lian Kee.

Tertuduh juga membayar kedua-dua ikat jamin tersebut.

Dalam satu kes berasingan, Mohd Azhar Kutim didenda RM1,000 atau penjara sebulan sekiranya gagal oleh Majistret Syukri atas kesalahan melupuskan harta curi.

Azhar mengaku bersalah melupuskan satu unit tong cat pada 12 Mei lalu, jam 12 tengah hari di bangunan Jalan Milan Square.

Syukri menjatuhkan hukuman sedemikian memandangkan tertuduh merupakan pesalah kali pertama selain membuat pertimbangan mengenai nilai barangan yang dicuri.

Dia didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hafiz Musa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement