Anda di sini

OKU pendengaran kini boleh menghayati alunan takbir

Advertisement
 Aplikasi Deria Takbir Maxis membolehkan OKU pendengaran menghayati alunan takbir Hari Raya.
TIDAK TERSISIH LAGI: Aplikasi Deria Takbir Maxis membolehkan OKU pendengaran menghayati alunan takbir Hari Raya.

KUCHING: Takbir adalah satu elemen penting dalam sambutan perayaan umat Islam di seluruh dunia.

Bagaimanapun, golongan kelainan pendengaran mungkin tersisih apabila mereka tidak dapat menghayati alunan takbir yang berkumandang.

Diinspirasikan oleh cabaran yang dialami golongan tersebut, Maxis telah mencipta aplikasi mudah alih sempena raya tahun ini, untuk membolehkan golongan kelainan pendengaran menikmati takbir melalui visual dan getaran buat kali pertama.

Untuk membina aplikasi tersebut, Maxis telah bekerjasama dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) untuk mendalami cabaran-cabaran yang dihadapi oleh komuniti kelainan pendengaran dan mendapatkan nasihat serta pandangan daripada Pegawai Hal-Ehwal Islam dan Imam Masjid Ara Damansara, Ustaz Mohammad Khairul Mohd Lias.

“Dengan menggunakan ciri-ciri sedia ada dalam iPhone seperti enjin ‘haptic’, aplikasi Deria Takbir berupaya menukar gelombang bunyi secara langsung kepada corak visual ‘cymatic’ dan getaran ‘haptic’, yang membolehkan pengguna merasakan irama dan melodi takbir.

“Takbir adalah satu bahagian penting solat semasa Aidilfitri, tetapi ia menjadi satu cabaran untuk saya sebagai seorang yang mempunyai kelainan pendengaran untuk mengalami dan menghayatinya.

“Aplikasi Deria Takbir yang melibatkan deria penglihatan dan sentuhan kami yang lebih tinggi melalui visual dan getaran, membolehkan kami menikmati takbir dengan cara yang amat unik.

“Saya percaya aplikasi ini akan membuat perbezaan dalam kehidupan golongan kelainan pendengaran di Malaysia,” kata Presiden MFD.

Beliau juga berkata, pihak Maxis sedang berusaha menukar perayaan biasa kepada pengalaman yang lebih bermakna, dengan membuka peluang dan potensi teknologi serta memudahkannya untuk diakses oleh semua orang.

Kempen itu tambahnya amat bermakna kepada Maxis kerana terdapat ramai pihak yang terlibat dalam penciptaan aplikasi ini – dari iPhone untuk akses peranti, MFD kerana memberi Maxis pandangan yang amat bernilai.

Pada masa sama, Mohammad Khairul turut memberi nasihat dan pandangan beliau, rakan kongsi dan agensi Maxis dan semua orang yang telah memberi inspirasi kepada Maxis dalam kempen ini.

“Kami didorong oleh potensi besar dalam setiap diri manusia dan peranan yang dapat dimainkan oleh Maxis untuk mengupayakan rakyat Malaysia dan Malaysia sebagai sebuah negara.

“Kempen ini merupakan contoh komitmen yang telah kami buat ke arah ini, dan kami berasa amat berbesar hati untuk menjayakannya sempena musim raya ini,” kata Ketua Pemasaran dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong.

Bersempena dengan pelancaran aplikasi tersebut, Maxis juga menghasilkan sebuah filem pendek, ‘Deria Takbir Raya’, yang menyoroti kehidupan Faiz, seorang budak lelaki dengan kelainan pendengaran.

Pada Hari Raya, bapanya memberikannya sebuah iPhone yang mempunyai aplikasi Deria Takbir dan untuk kali pertama dalam hidupnya, Faiz dapat menikmati alunan takbir.

Untuk memastikan kesahihan dari segi pengalaman sebenar yang dialami mereka, filem pendek tersebut dihasilkan dengan mengambil kira perkongsian yang tidak ternilai daripada golongan kelainan pendengaran dan menampilkan sebuah keluarga sebenar.

Tonton filem di https://www.youtube.com/watch?v=M3hQGM1Cm3c

Untuk menikmati takbir raya ini di iPhone, aplikasi Deria Takbir boleh dimuat turun di App Store mulai 24 Mei 2019.

Cara menggunakan aplikasi Deria Takbir adalah dengan memuat turun aplikasi Deria Takbir dari Apple Store dan berikan kebenaran kepada aplikasi untuk mengakses mikrofon bagi mengesan bunyi takbir raya di sekitarnya.

Kemudian aplikasi Deria Takbir akan menukarkan gelombang bunyi secara langsung kepada corak visual cymatic dan getaran haptic, yang mengikuti irama dan melodi takbir.

Untuk maklumat lanjut mengenai aplikasi Deria Takbir, sila layari maxis.com.my/DeriaTakbir.

Advertisement