Anda di sini

Lebam mata rakan sekerja kena tumbuk

Advertisement
 

SIBU: Seorang penjawat awam ditahan selepas bertindak menumbuk dua rakan sekerja dan merosakkan harta benda kerajaan dalam pejabat di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar 7.30 petang semalam, suspek dipercayai berada dalam pengaruh dadah telah menumbuk dan memukul dua rakan sekerja sehingga cedera.

"Malah dia (suspek) juga bertindak merosakkan barang-barang milik Kerajaan di bahagian hadapan kaunter pejabat," kata Ketua Polis Daerah, ACP Stanley Jonathan Ringgit menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, tindakan suspek telah menyebabkan kedua-dua rakan sekerja berumur 29 dan 27 tahun mengalami lebam di mata kiri dan seorang lagi mengalami luka di bahagian belakang kepala dan belakang badan.

"Kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan namun tiada kecederaan serius dialami mereka," katanya.

Siasatan awal polis, katanya punca kejadian mungkin disebabkan suspek tidak berpuas hati mengenai pembahagian kerja yang diarahkan oleh pihak atasan.

Polis juga difahamkan bahawa suspek juga sering mempunyai masalah disiplin.

Stanley berkata, suspek telah ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Sentral dan akan menjalani  pemeriksaan air kencing.

"Kes tersebut akan disiasat dibawah Seksyen 427/323 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan mendatangkan kecederaan," tambah beliau.

  • oleh
  • Advertisement