Anda di sini

Kerjasama dengan Huawei tidak terjejas dan diteruskan - Abang Johari

Advertisement
(Dari kiri) Morshidi, Abang Johari dan Dr Chan semasa menunggu untuk berbuka puasa pada petang, semalam.
(Dari kiri) Morshidi, Abang Johari dan Dr Chan semasa menunggu untuk berbuka puasa pada petang, semalam.

KUCHING: Kerajaan negeri akan meneruskan kerjasama ekonomi digitalnya dengan Huawei walaupun sekatan Amerika Syarikat terhadap syarikat telekomunikasi gergasi China itu, baru-baru ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pembangunan ekonomi digital Sarawak, termasuk teknologi 5G, akan terus berjalan dan kerjasama mereka dengan Huawei tidak akan terjejas.

"Di sebelah piihak kita, tidak terjejas. Kami akan meneruskan kerjasama ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa anjura Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) dan Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (Scope) di sini, petang semalam.

Huawei menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kolaborasi ekonomi digital dengan kerajaan Sarawak pada 4 April 2017.

Berdasarkan laporan sebelum ini, usahasama itu bertujuan untuk meneroka kerjasama dalam Program Ekonomi Digital Negeri yang mempromosikan pertumbuhan ekonomi di Sarawak melalui transformasi digital.

Ia juga melaporkan bahawa melalui MoU, Huawei akan membantu Sarawak membangunkan infrastruktur maklumat dan komunikasi (ICT) infrastrukturnya.

Centexs, yang ditubuhkan oleh kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak pada tahun 2014, kini sedang bekerjasama dengan Huawei dalam latihan kemahiran dalam bidang digital. dimana pelajar boleh mendapatkan pensijilan antarabangsa yang dikeluarkan oleh Huawei setelah tamat kursus.

Pada Ahad lepas, Reuters melaporkan Google melarang syarikat pembuat telefon pintar kedua terbesar dunia, Huawei daripada memiliki akses bagi proses kemas kini sistem operasi Android.

Ini bermakna, kesemua telefon mudah alih atau peranti yang baharu atau bakal dilancarkan Huawei akan kehilangan akses kepada beberapa aplikasi Google.

Tindakan itu diambil Google selepas pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meletakkan Huawei dalam senarai syarikat yang dihalang mempunyai hubungan perdagangan dengan negara ini.

Sementara itu turut hadir pada majlis berbuka puasa, Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Pengerusi Centexs Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani, bekas timbalan ketua menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan dan Pengarah SMA Dr Zaidi Razak.
 
Lebih 600 kakitangan SMA, Centexs dan Scope hadir bersama pada majlis berbuka puasa diikuti terawih.

Advertisement