Anda di sini

Industri kayu Sarawak digesa guna pendekatan teknologi

Advertisement
 Awang Tengah serta ahli lembaga pengurusan PUSAKA lain merakam kenangan bersama wakil-wakil pertubuhan yang menerima sumbangan daripada PUSAKA dan anak-anak syarikatnya, semalam. — Gambar Chimon Upon
UNTUK ALBUM: Awang Tengah serta ahli lembaga pengurusan PUSAKA lain merakam kenangan bersama wakil-wakil pertubuhan yang menerima sumbangan daripada PUSAKA dan anak-anak syarikatnya, semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Pemain industri perkayuan di Sarawak perlu membuat penyelarasan dengan mengguna pakai pendekatan teknologi agar terus relevan dalam industri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bagi memastikan industri perkayuan terus menyumbang kepada ekonomi negeri, Sarawak melalui badan-badan kerajaan bekerjasama merangka dasar-dasar baharu untuk industri perkayuan.

Menurutnya, ini termasuk melalui Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Jabatan Hutan dan Sarawak Forestry Corporation bagi memastikan kelestarian industri perkayuan di negeri ini.

“Industri perkayuan dinasihatkan untuk mengkaji semula teknologi yang mereka gunakan selama ini dalam operasi kilang mereka untuk mengeluarkan produk hiliran yang mempunyai nilai tambah tinggi.

“Pemain industri perlu memastikan mereka terus relevan dan untuk itu, mereka perlu membuat penyelarasan dalam usaha mereka menambah nilai produk dan antara berpotensi besar adalah industri pembuatan perabot,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Derma Tahunan PUSAKA dan Anak-Anak Syarikat PUSAKA yang dihadiri Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh dan Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais di Wisma Sumber Alam di sini, semalam.

Tambah Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, sebelum ini pengeluaran kayu diambil dari hutan semula jadi, namun dari tahun ke tahun, kelestarian kayu semakin menurun.

“Kini kita mempunyai sumber baharu dengan mengambil kayu daripada hutan tanaman dan kini prosesnya berbeza dan pemain industri harus menggunakan teknologi tinggi,” katanya.

Sementara itu, menurut dalam kenyataan media semalam, prestasi industri perkayuan berdasarkan nilai eksport produk perkayuan bagi suku pertama 2019 (Januari-Mac) mengalami penurunan sebanyak tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Manakala, jumlah nilai eksport produk perkayuan dari Sarawak bagi Januari hingga Mac 2019 adalah RM1,277 juta.

Ia menunjukkan penurunan sebanyak tiga peratus jika dibandingkan dengan nilai eksport RM1,321 juta pada suku pertama tahun 2018.

Daripada jumah itu, papan lapis kekal sebagai produk perkayuan utama yang dieksport oleh Sarawak.

Nilai eksport papan lapis bagi Januari-Mac 2019 ialah RM713 juta berbanding dengan RM730 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Dr Wan Lizozman Wan Omar, Pengurus Besar PUSAKA Hashim Bojet dan Ahli Lembaga Pengurusan PUSAKA Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain.

  • oleh
  • Advertisement