Anda di sini

Henti sebar fitnah terhadap kerajaan

Advertisement
SHAFIE APDAL
SHAFIE APDAL

SEMPORNA: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa semua parti politik di negeri ini supaya menghentikan perbuatan menyebar fitnah terhadap kerajaan negeri yang dipimpin oleh Parti Warisan Sabah (Warisan).

Beliau cukup kecewa dan sedih mengetahui masih ada segelintir parti politik yang terus menerus menyebar fitnah pada bulan Ramadan ini.

Katanya, pihak berkenaan mendakwa Kerajaan Negeri hari ini (Warisan) telah memberikan kad pengenalan kepada Pendatang Tanpa Izin (PTI) di negeri ini.

"Jangan menimbulkan fitnah semata-mata untuk mendapatkan kepercayaan politik pada bulan suci (Ramadan) ini.

" Tiada guna kita berpuasa jika perbuatan kita salah... kerana ini menimbulkan kebencian dalam kalangan manusia dengan menyebarkan berita palsu di media sosial," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Iftar Ramadan di Perkarangan Masjid Ar Rahman, di sini pada Jumaat.

Shafie sekali lagi dengan tegas mengulangi  bahawa beliau sama sekali tidak mempunyai kuasa mengeluarkan kad pengenalan.

Katanya, mengikut perlembagaan, kuasa memberi dokumen diri itu hanya boleh dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan.

Justeru, beliau meminta mana-mana parti politik supaya berhenti menyebarkan berita palsu dan bersama-sama kerajaan berusaha membangunkan negeri ini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman dan Jabatan Pendaftaran Negara menafikan kewujudan mana-mana program untuk mendaftarkan dokumen diri kepada PTI.

Mereka juga menegaskan bahawa simbol logo kerajaan yang tertera dalam borang pendaftaran dokumen diri tidak lagi digunakan oleh jabatan.

Sehubungan itu, Warisan membuat laporan polis berhubung perkara itu yang disyaki dilakukan oleh parti pembangkang tertentu yang terus menyuarakan tuntutan tidak berasas.

Terdahulu, hampir 4,000 orang terdiri dari golongan kanak- kanak fakir miskin dan asnaf hadir pada majlis berbuka puasa itu dan menerima sumbangan Aidifitri yang disampaikan oleh Shafie.

Sumbangan berupa keperluan harian itu turut ditaja oleh Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan Yayasan Semporna.

  • oleh
  • Advertisement