Anda di sini

Gomez kritik penyokong Stuttgart yang mengecam keputusan seri 2-2

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Bundesliga di antara Stuttgart dan Union Berlin di Stuttgart. Perlawanan berkesudahan dengan seri 2-2.  — Gambar AFP
PENUH SAINGAN: Antara babak-babak aksi perlawanan Bundesliga di antara Stuttgart dan Union Berlin di Stuttgart. Perlawanan berkesudahan dengan seri 2-2. — Gambar AFP

BERLIN: Penyerang Mario Gomez mengkritik penyokong Stuttgart selepas pasukannya diikat 2-2 di stadium sendiri oleh kelab divisyen kedua Union Berlin dalam pusingan pertama perlawanan ‘play-off’ relegasi Bundesliga kelmarin.

Keputusan seri itu bermakna Stuttgart, juara Jerman sebanyak tiga kali, mesti menewaskan Union di ibu negara pada Isnin untuk mengelak relegasi, selepas mereka menduduki tempat ketiga tercorot dalam divisyen utama.

Penyokong tuan rumah mengejek pasukan mereka apabila wisel penamat ditiupkan selepas pasukan bukan pilihan Union dua kali bangkit setelah ketinggalan untuk menghidupkan impian mereka untuk bermain dalam liga utama dan meninggalkan Stuttgart di ambang kejatuhan.

“Saya sejujurnya tidak suka suasana ini,” kata Gomez, yang meletakkan Stuttgart 2-1 di hadapan pada separuh masa kedua, dalam Eurosport.

“Kami ternyata tidak melaksanakan tugas sepanjang musim dan penyokong meluahkan emosi mereka. Kebanyakan orang ramai menyokong kami pada hari ini, dan saya harap kita ada penyokong itu bersama kami di Berlin.”

Pemain pertahanan Union Marvin Friedrich menanduk masuk gol penyamaan kedua pasukan pelawat 22 minit dari penamat, untuk memberikan kelebihan kepada kelab Berlin itu dengan dua jaringan di tempat lawan sebagai bekal bagi pusingan kedua.

Union akan bermain tanpa kapten Christopher Trimmel pada Isnin, selepas pemain Austria itu dilayangkan kad kuning ke-10 pada musim ini selepas dia mengasari Nicolas Gonzalez pada separuh masa kedua.

Anastasios Donis berlari hampir sepanjang padang untuk memberi bola kepada Christian Gentner bagi gol pembukaan Stuttgart sejurus sebelum waktu rehat, tetapi Union membalas menerusi Suleiman Abdullahi secara langsung selepas babak kedua bersambung.

Jurulatih Stuttgart Nico Willig memasukkan Gomez pada waktu rehat, dan penyerang veteran itu memulihkan kelebihan pasukan tuan rumah lima minit kemudian apabila dia melakukan rembatan yang masuk selepas ia terkena kepala Friedrich yang malang.

Friedrich menebus diri 15 minit kemudian apabila dia menanduk bola masuk untuk menyamakan kedudukan semula bagi pasukan pelawat. — AFP

Advertisement