KUCHING: Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) harus menggandakan usaha bersama ahli parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus dan Tamin tidak ditawan pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pada masa sama rakyat disarankan supaya terus memberi sokongan kepada semua calon GPS.
"Kita sudah kehilangan kerusi Selangau kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
"Justeru, kita tidak boleh tewas di Kakus dan Tamin yang membentuk kerusi Selangau. Kita mesti menang," tegasnya ketika berucap pada majlis Makan Malam Pra-Gawai Dayak anjuran Wanita PBB Kakus di Bintulu, malam Jumaat.
Uggah yang juga Timbalan Presiden PBB berkata, jika rakyat memberikan mandat besar kepada kerajaan GPS, ia dapat meneruskan kerjanya untuk mempertahankan hak negeri, kekayaannya, autonomi imigresen dan banyak lagi.
"Dalam perkara pembangunan, ia juga mempunyai program tersendiri untuk seluruh negeri ini. Misalnya dalam bidang pertanian, kita kini sedang giat mentransformasikan sektor ini menjadi satu teknologi moden, tinggi dan komersial.
"Kita berhasrat untuk menjadi pengeksport produk makanan bersih menjelang tahun 2030 sekaligus menghapuskan kemiskinan di negeri ini," ujarnya.
Mengulas lanjut perkara ini, Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, kursus Pemulihan dan Penyelenggaraan Pokok Durian akan dianjurkan untuk petani di kedua-dua kawasan pada Julai ini.
Tahun lepas, katanya, Sarawak berjaya mengeksport 100 tan pes durian ke China.
"Untuk tahun ini, kita melihat peningkatan kepada lebih 200 tan," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk di luar bandar supaya merebut peluang dalam sektor pertanian.
"Anda semua mempunyai tanah besar dan anda dikenali dengan usaha bekerja keras. Ini adalah asas yang anda sudah miliki. Gabungkan asas ini dengan input pertanian moden dalam usaha meningkatkan produktiviti dan pendapatan anda," katanya.
Sementara itu, Uggah berkata, falsafah GPS iatu 'Sarawak First' jelas menunjukkan bahawa ia memberi keutamaan kepada semua kepentingan negeri dan rakyatnya.
Maka itu, katanya, beliau akan berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tentang keperluan untuk mewujudkan lebih banyak pembangunan diperuntukkan kepada Tamin dan Kakus serta Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) tentang rancangan pembangunannya di kawasan itu.
"Kedua-dua kawasan ini masih memerlukan lebih banyak jalan, bekalan elektrik dan projek bekalan air terawat," tambahnya.
Dalam perkara berlainan, Uggah menyifatkan hubungan antara Kerajaan Negeri GPS dan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) masih sangat baik dan mesra.
"Pemimpin negeri sering dijemput ke Putrajaya untuk membincangkan isu-isu penting.
"Contohnya seperti saya sendiri, saya telah dilantik menjadi pengerus bersama jawatankuasa untuk mengawasi pelaksanaan projek-projek persekutuan di negeri ini bersama-sama dengan Menteri Kerja Raya, Baru Bian," ujar beliau.
Pada majlis itu, Uggah mengumumkan geran sebanyak RM30,000 kepada PBB Kakus, sementara Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Datuk John Sikie Tayai dan Setiausaha Agung GPS, Datuk Alexander Nanta Linggi masing-masing turut menyumbang RM10,000 dan RM5,000.
Pertandingan Kumang Gawai yang diadakan sebagai salah satu acara kemuncak pada majlis itersebut dimenangi oleh Debby Allisandra Unyi manakala Pretty Sophia Banting dan Bibiana Jimbun masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.
Pemenang-pemenang itu mendapat hadiah wang tunai RM1,000; RM800 dan RM500 serta hadiah tambahan lain dari isteri John, Datin Melia Bajok.