Anda di sini

Sekadar bersifat tempatan

Advertisement
 William Bell (kanan) dan Mohamad Roni (tengah) menerima  surat penghargaan dan sumbangan daripada Azman (dua kiri).
PERTARUH NYAWA: William Bell (kanan) dan Mohamad Roni (tengah) menerima surat penghargaan dan sumbangan daripada Azman (dua kiri).

MIRI: Polis percaya kejadian rompakan bersenjata dan tembak-menembak yang berlaku di sebuah rumah di Taman Serene Jelita, Taman Tunku di sini baru-baru ini hanya bersifat insiden jenayah tempatan dan bukannya melibatkan satu kumpulan gengster di seluruh Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Azman Yusof berkata, kes itu telah dianggap selesai dengan penjenayah yang melakukannya telah dikenal pasti.

“Tapi kita nakkan suspek yang masih menyorokkan diri untuk ditangkap bagi menyelesaikan keseluruhan kes terbabit.

“Dan, saya difahamkan Bahagian Siasatan Jenayah telah merujuk perkara ini kepada bahagian perundangan untuk proses dipertuduh dan sebagainya,” ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di sini, petang semalam.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim, Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah dan pegawai-pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan IPD Miri.

Azman berkata, pihak polis masih menyiasat motif sebenar kejadian terbabit dan saksi-saksi juga telah dikenal pasti bagi menceritakan mengenai kejadian itu.

Selain itu katanya, polis juga mendapat tanda-tanda positif dalam usaha mengesan seorang lagi suspek yang dicari dalam kes rompakan bersenjata terbabit.

Ditanya mengenai senjata api yang digunakan oleh suspek terbabit, Azman percaya senjata api terbabit diseludup masuk ke negara ini dan polis masih menyiasat perkara itu.

“Polis akan mengenal pasti individu-individu yang terlibat membawa senjata api ini masuk ke sini,” jelasnya.

Pada majlis sama, Azman turut menyampaikan surat penghargaan dan sumbangan kepada anggota kereta peronda polis (MPV) yang terlibat dalam menggagalkan rompakan bersenjata terbabit iaitu Koperal William Bell Jol dan Konstabel Sokongan Mohamad Roni Abdul Manap.

Dalam kejadian sekitar jam 1.30 petang 16 Mei lalu, mangsa rompakan mengalami detik cemas apabila kereta yang digunakan suspek telah merempuh pagar rumah tersebut ketika mangsa baru balik dari mengambil anak lelakinya berusia empat tahun dari tadika.

Tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol kemudiannya memaksa kesemua penghuni rumah naik ke tingkat atas sambil mengacukan pistol ke kepala salah seorang mangsa.

Rompakan bersenjata itu turut menyebabkan trauma kepada anak lelaki mangsa apabila mulutnya ditutup dengan pita pelekat oleh perompak terbabit.

Kejadian itu menyebabkan William Bell, 55, tercedera di lengan kiri dalam kejadian berbalas tembakan bersama penjenayah di rumah tersebut.

Sementara itu, menjelang musim curi perayaan Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, Azman mengingatkan orang ramai untuk melakukan perancangan yang betul sebelum meninggalkan rumah dalam jangka masa yang panjang.

Berikutan sambutan dua perayaan ini yang berlangsung pada tarikh yang begitu dekat, beliau menjangkakan pergerakan penduduk di negeri ini akan lebih aktif berbanding tahun sebelumnya.

“Apa yang saya harapkan sebelum meninggalkan rumah untuk balik ke kampung, jangan tergesa-gesa, buat perancangan dengan teliti sebelum meninggalkan rumah.

“Jika tinggalkan rumah untuk jangka masa lama, minta laporkan ke balai polis berdekatan atau ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) supaya anggota polis dapat menjaga keselamatan di kawasan rumah anda,” katanya.

Menurutnya, laporan kepada polis adalah penting agar keselamatan rumah masing-masing dapat dijaga supaya tidak diceroboh atau dipecah masuk pencuri di sepanjang musim perayaan ini.

Azman berkata, begitu juga dengan hal-hal di jalan raya di mana polis akan melancarkan Ops Selamat menjelang musim perayaan ini.

“Dengan kesibukan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sekarang, saya percaya akan berlaku sedikit kesesakan apabila orang ramai balik ke kampung.

“Saya harap sepanjang Ops Selamat dilancarkan pihak polis, pengguna jalan raya akan sentiasa mematuhi peraturan keselamatan jalan raya,” ujar beliau.

Katanya lagi, masyarakat perlu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak penguat kuasa agar perjalanan ke destinasi yang dituju menjadi lancar.

“Saya percaya pihak penguat kuasa tak kiralah polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan mana-mana unit lain sekali pun, mereka akan cuba sebaik mungkin menyelaras pergerakan yang selamat untuk pengguna jalan raya balik ke kampung,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement