Anda di sini

Peras ugut: Mekanik dipenjara lima tahun, denda RM4,000

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang mekanik dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda RM4,000 atau penjara setahun, atas kesalahan memeras ugut seorang pembantu rumah warga asing.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nurchaya Hj Arshad menggantikan hukuman itu terhadap perayu Sawal Muhimin@ Muimin, 50, setelah membenarkan rayuan pihak pendakwaan atas hukuman.

Sebelum ini Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara selama 20 bulan dan denda RM1,000 atau penjara sebulan ke atas perayu, selepas disabitkan bersalah.

Sawal memeras ugut mangsa untuk menyerahkan dua bentuk cincin emas kepadanya, jika tidak mangsa akan dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal.

Kesalahan dilakukan pada 9 Oktober 2017 jam 8 malam di Jalan Kokol, Manggatal di sini.

Atas kesalahan itu, perayu disabitkan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 10 tahun dan denda, atau sebat atau dua daripada hukuman terbabit.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya Siti Amirah Muhammad Ali merayu supaya hukuman ditingkatkan dan menyatakan, mahkamah rendah gagal mengambil kira perayu mempunyai rekod jenayah lampau.

Namun Sawal merayu agar hukumannya tidak diganggu dan memberitahu sudah menyesal selepas mengikuti kelas agama yang diadakan di dalam penjara.

Peguam Luke Ressa Balang yang mewakili perayu menyatakan bahawa perayu sudah menyesal dan memohon tempoh pemenjaraan dikurangkan.

Namun Nurchaya memberikan peringatan bahawa perayu tidak menunjukkan penyesalan apabila mempunyai dua rekod jenayah lampau, atas kesalahan merompak dan menyamar.

Beliau memerintahkan Sawal menjalani hukuman penjara terbabit bermula dari tarikh sabitan 26 Januari 2018.

  • oleh
  • Advertisement