Anda di sini

‘Game of Thrones’ catat jumlah penonton tertinggi, tinggalkan peminat dengan kesedihan, kekecewaan

Advertisement
 Menurut peminat, Arya merupakan satu-satunya bahagian yang bagus pada Musim 8 dan mahukan siri sampingan untuk watak lakonan Maisie itu. — Gambar ihsan HBO
TARIK PERHATIAN: Menurut peminat, Arya merupakan satu-satunya bahagian yang bagus pada Musim 8 dan mahukan siri sampingan untuk watak lakonan Maisie itu. — Gambar ihsan HBO

Amaran: Cerita ini mengandungi ‘spoilers’ untuk episod terakhir ‘Game of Thrones’.

LEBIH 19 juta penonton di Amerika Syarikat melihat finale siri televisyen ‘Game of Thrones’ – satu rekod audiens bagi HBO, kata saluran kabel itu kelmarin.

HBO, sebuah unit Warner Media milik AT&T, berkata 19.3 juta audiens televisyen secara langsung pada Ahad dan penonton dalam aplikasinya HBO GO dan HBO NOW melebihi jumlah tertinggi sebelum ini bagi siri fantasi itu – 18.4 juta, untuk episod kedua terakhir seminggu sebelumnya.

Finale itu juga merupakan siaran tunggal ditonton paling ramai orang dalam sejarah di HBO, mengatasi rekod lama yang dibuat oleh drama jenayah ‘The Sopranos’ pada 2002, kata HBO.

‘Game of Thrones’ dapat ditonton di lebih 150 buah negara di seluruh dunia, tetapi HBO berkata data tontonan tidak mudah diperolehi di kebanyakan pasaran tersebut, yang menjadikan perangkaan global mustahil untuk dikira.

Reviu bercampur-campur, botol air yang sesat, dan rayuan bagi siri sampingan untuk pembunuh remaja yang garang Arya Stark menandakan penamat ‘Game of Thrones’, yang berakhir dengan jalan cerita terakhir berhubung siapa yang akan memerintah Westeros.

Finale itu ternyata memecah-belah penonton seperti Musim 8 sendiri, dengan pencairan Takhta Besi yang menjadi rebutan dan saga itu berakhir dengan apa yang disebut oleh sebahagian pihak sebagai anti-klimaks.

Namun pelakon British Isaac Hempstead Wright berkata pada Isnin, dia teruja dengan cara siri itu mengubah wataknya, Bran Stark, daripada seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang memakai kerusi roda kepada lelaki yang akhirnya dipilih sebagai raja.

“Bran yang menjadi raja merupakan satu kemenangan bagi golongan yang diam dan dianggap manusia di dunia ini, yang selalunya diketepikan oleh kekecohan mereka yang lebih bising dan menunjukkan lebih banyak reaksi,” tulis Hempstead Wright, 20, dalam kolum jemputan bagi akhbar The Hollywood Reporter.

Kelly Lawler dari akhbar USA Today menyifatkan finale itu “penamat buruk yang tidak wajar bagi peminat”, dan menambah ia “kurang bermutu; ia basi”.

Radio Times di Britain pula lebih baik hati, dengan penulis blog Huw Fullerton yang menulis terdapat “beberapa perkara yang saya suka, satu dua yang saya amat sukai, banyak sekali yang membuatkan saya menggaru kepala. Tetapi saya akan katakan, ia berakhir dengan lebih baik berbanding apa yang saya jangkakan selepas dua episod terakhir”.

Lebih 1.2 juta peminat di seluruh dunia telah menandatangani petisyen Change.org petition sehingga Isnin, yang mengkritik Musim 8 dan menuntut pembikinan semula.

Pencipta siri televisyen David Benioff dan D.B. Weiss senyap pada Isnin. Penerbit eksekutif itu telah menyatakan mereka merancang untuk keluar dari talian apabila finale itu ditayangkan.

“Kami akan berada di lokasi yang tidak akan didedahkan, menutup telefon kami dan membuka pelbagai botol,” kata Weiss kepada Entertainment Weekly awal tahun ini.

Ramai peminat lebih hampa mengenai siri itu kerana ia berakhir selepas lapan musim.

“Saya sangka penamatnya akan lebih dramatik,” kata pekerja penjagaan kesihatan Christine Lethune kepada Reuters di satu majlis tontonan di New York.

“Saya marah, saya marah kerana ini adalah episod terakhir. Saya mengharapkan ada lagi (episod) selepas ini.”

Peminat mengesan satu lagi prop moden yang muncul menerusi kamera – satu botol air plastik yang sebahagiannya kelihatan di belakang kasut but watak Samwell Tarly.

Penemuan itu menyusuli kekecewaan dan gurauan berhubung penemuan satu cawan kopi kertas yang sesat dan kelihatan dalam episod 4, ditayangkan dua minggu lepas.

HBO pada tahun lepas mengarahkan sebuah prekuel, ditulis bersama George R.R. Martin, penulis saga buku ‘A Song of Ice and Fire’ yang menjadi dasar bagi siri itu.

Ia berlatarbelakangkan waktu ribuan tahun sebelum peristiwa dalam ‘Game of Thrones’.

Pada Isnin, ramai peminat mahukan sekuel yang berkisar sekitar Arya Stark (lakonan Maisie Williams), yang kali terakhir kelihatan di atas sebuah kapal untuk menerokai tanah-tanah yang belum diketahui.

“Arya merupakan satu-satunya bahagian yang bagus pada Musim 8. Berikan kami siri sampingannya,” tweet Riley McAtee, pengarang sekutu di laman sesawang budaya pop dan sukan The Ringer.com. — Reuters

Advertisement