Anda di sini

Teguk racun lepas marah

Advertisement
 Racun yang didakwa diminum oleh mangsa.
BERBAHAYA: Racun yang didakwa diminum oleh mangsa.
 Kelihatan anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.
SIASATAN RAPI: Kelihatan anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.

KUCHING: Seorang lelaki yang dipercayai meneguk secawan racun serangga di hadapan ahli keluarganya meninggal dunia semasa menerima rawatan di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (PJHUS) di sini, kelmarin.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Chai, 53, sebelum itu tiba-tiba ‘naik angin’ dan menghalau isteri serta dua anaknya dari rumah mereka di Kampung Siburan di sini sekitar jam 2 petang.

Isteri dan anak-anak mangsa bagaimanapun enggan keluar menyebabkan mereka dikumpulkan di ruang tamu rumah tersebut dan mangsa terus keluar dari rumah sebelum datang semula membawa sebotol racun serangga.

“Mangsa mengunci pintu dan kemudian menuang racun serangga tersebut ke dalam cawan kaca dan terus meminumnya.

“Kira-kira lima minit kemudian dia muntah dan pengsan menyebabkan isterinya menghubungi ahli keluarga lain untuk meminta bantuan,” kata sumber.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu laporan polis juga telah dibuat oleh isteri mangsa.

“Mangsa dihantar oleh rakannya ke PJHUS dan telah disahkan meninggal dunia pada jam 3.50 petang semalam (Isnin) kerana meminum racun,” kata Aidil semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut juga telah dijalankan di tempat kejadian dan mendapati terdapat kesan muntah dan serpihan kaca di ruang tamu rumah tersebut.

“Menurut isteri mangsa, sebelum ini mangsa juga pernah bersikap marah-marah tanpa sebab dan rasa tidak tenteram tetapi tidak sampai cuba membunuh diri,” katanya.

Mayat mangsa telah dituntut oleh keluarganya untuk upacara pengebumian selepas mereka enggan bedah siasat dijalankan.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan enam anak, di mana empat lagi anak mangsa bekerja di Singapura.

  • oleh
  • Advertisement