Anda di sini

Penjawat awam di Miri rugi lebih RM1 juta diperdaya Macau Scam

Advertisement
 

MIRI: Seorang penjawat awam wanita berusia 52 tahun di sini mengalami kerugian lebih RM1 juta setelah diperdaya sindiket Macau Scam. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata beliau mengesahkan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Miri sedang menyiasat kes Macau Scam yang dilaporkan wanita terbabit pada 20 Mei lalu. 

"Mangsa menerima panggilan telefon pada 7 Mei lalu dari seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai 'Syaifa Binti Omar' dari Mahkamah Terengganu dan mengatakan akaun mangsa digunakan untuk menggelapkan wang kredit sebuah bank berjumlah RM90,000 dan juga terlibat di dalam pembelian dadah. 

"Suspek turut mendakwa kes tersebut di dalam siasatan pihak polis," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu. 

Mustafa Kamal berkata mangsa kemudiannya menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Sufian Sulaiman' yang mengatakan akaun mangsa telah digunakan untuk penggelapan wang dan penyeludupan dadah. 

"Suspek turut mengatakan kesemua akaun bank mangsa akan dibekukan jika mangsa tidak memasukkan wang ke dalam akaun pengadu sendiri.

"Selain itu, mangsa juga diarahkan untuk menukar nombor telefon bagi pendaftaran sistem perbankan dalam talian akaun beliau ke nombor telefon yang diberikan suspek," ujarnya. 

Beliau berkata mangsa kemudiannya telah memasukkan wang keseluruhan berjumlah RM1,096,800 ke dalam salah satu akan bank miliknya secara berperingkat mulai 7 Mei sehingga 20 Mei melalui 18 kali transaksi. 

"Mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah membuat semakan melalui mesin juruwang automatik (ATM) dan mendapati wang di dalam akaun bank beliau tinggal RM21 sahaja," kata Mustafa Kamal. 

  • oleh
  • Advertisement