Anda di sini

Filem ‘Think Big Big’ ditayangkan di China

Advertisement
 Babak dalam filem ‘Think Big Big’ di mana kawan Moon membantunya dalam usahanya menuju ke arah hidup yang lebih sihat. — Gambar ihsan Astro
DITAYANGKAN DI CHINA: Babak dalam filem ‘Think Big Big’ di mana kawan Moon membantunya dalam usahanya menuju ke arah hidup yang lebih sihat. — Gambar ihsan Astro

FILEM tempatan, ‘Think Big Big’ (TBB) yang diarahkan oleh pengarah prolifik Chiu Keng Guan kini bersedia untuk mengegarkan 10,900 buah pawagam di China dengan 60,079 tayangan. TBB akan memulakan tayangannya di sana bermula 24 Mei ini.

Syarikat filem terbesar dan berpengaruh di China, China Film Group Corporation bersama syarikat filem lain seperti Huaxia, Film Distribution, Pearl River Pictures dan Beijing National Shadow Film Publishing Co., Ltd. akan menjadi pengedar TBB di sana. Manakala, bahagian pemasaran akan digerakkan oleh syarikat media Beijing Aoweier Film&TV Culture Communication Co., LTD.

Astro Shaw selaku penerbit TBB rasa berbesar hati apabila syarikat-syarikat filem terkemuka di China memberi kepercayaan pada naskhah ini sekaligus bersetuju untuk bekerjasama menayangkan filem ini di negara berpopulasi tinggi dan semakin mengungguli kutipan tertinggi box office dunia menerusi filem tempatannya mahupun antarabangsa.

Penerimaan ini di peringkat antarabangsa membuktikan jalan cerita yang dihidangkan dalam filem ini sesuai dengan penonton sasaran universal.

Pengarah TBB, Chiu Keng Guan berkata, “Sebagai pengkarya filem di Malaysia, saya teruja apabila dapat peluang keemasan untuk mempersembahkan TBB buat penggemar dan penonton filem di China. Saya harap filem ini mampu menyentuh perasaan penonton di sana sama seperti mana penonton di Malaysia. Di zaman era serba canggih ketika ini, ada segelintir daripada kita yang suka memburu populariti di laman media sosial sehingga mengabaikan nilai-nilai murni. Saya harap elemen kejujuran yang diselitkan di dalam TBB, mampu memupuk kita untuk lebih menghargai masa bersama keluarga dan rakan-rakan serta menghargai diri sendiri.”

Filem terbitan Astro Shaw, Golden Screen Cinemas, Multimedia Entertainment & MM2 Entertainment ini telah ditayangkan di pawagam tanah air dan Brunei pada Februari tahun lalu dan berjaya meraih kutipan sebanyak RM5.4 juta.

Advertisement