Anda di sini

Filem pembunuhan kejam di masjid Christchurch dalam pembikinan

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 23 Mac 2019 menunjukkan ahli jemaah memasuki  Masjid Al Noor di Christchurch, selepas ia dibuka semula selepas kejadian pembunuhan kejam tersebut. Sebuah filem yang dipanggil ‘Hello Brother’ mengenai kejadian itu kini sedang dalam pembikinan, kata penerbitnya kepada media di Cannes baru-baru ini. — Gambar AFP
AKAN DIFILEMKAN: Gambar fail bertarikh 23 Mac 2019 menunjukkan ahli jemaah memasuki Masjid Al Noor di Christchurch, selepas ia dibuka semula selepas kejadian pembunuhan kejam tersebut. Sebuah filem yang dipanggil ‘Hello Brother’ mengenai kejadian itu kini sedang dalam pembikinan, kata penerbitnya kepada media di Cannes baru-baru ini. — Gambar AFP

PEMBUNUHAN beramai-ramai di masjid di New Zealand di mana seorang aktivis ketuanan kulit putih membunuh 51 orang akan menjadi sebuah filem yang dipanggil ‘Hello Brother’, kata penerbitnya kepada media di Cannes.

Filem cereka itu, yang menceritakan tentang sebuah keluarga pelarian yang lari dari Afghanistan untuk mencari keselamatan di Christchurch tetapi terperangkap dalam pembunuhan beramai-ramai berkenaan, sedang dibuat oleh penerbit dari Mesir, Moez Masoud, katanya kepada majalah Variety.

“Di Christchurch, pada 15 Mac, dunia menyaksikan jenayah kemanusiaan yang tidak terkata,” kata Masoud kepada Variety, dan berkata anggota pasukannya kini berada di New Zealand untuk berjumpa dengan mangsa yang selamat dan keluarga mangsa.

“Cerita yang akan dibawa oleh ‘Hello Brother’ kepada audiens hanyalah satu langkah dalam proses pemulihan supaya semua kita dapat lebih memahami satu sama lain, dan punca sebenar bagi kebencian, rasisme, ketuanan dan terorisme.”

Tajuknya berdasarkan kata-kata alu-aluan yang disebut oleh seorang warga emas Afghan ketika dia menyambut lelaki bersenjata terbabit di pintu Masjid Al Noor.

Dia ditembak mati, tetapi kata-katanya digunakan di seluruh dunia sebagai seruan untuk menentang kebencian.

Berita mengenai penerbitan itu diumumkan pada hari kedua Festival Filem Cannes, hanya dua bulan sahaja selepas pertumpahan darah itu berlaku.

Dalam reaksinya kepada pengumuman itu, Muslim Association of Canterbury di Christchurch, yang mewakili organisasi Islam di wilayah berkenaan, berkata ia tidak dihubungi mengenai rancangan untuk membuat filem sedemikian.

“Kami tidak menerima sebarang cadangan seperti ini dikemukakan kepada kami dan kami juga belum menyetujuinya,” tulis organisasi itu dalam laman Facebooknya, tetapi seorang lelaki telah melawat masjid itu dengan beberapa “idea kabur” mengenai penggambaran filem untuk sesuatu.

“Kami tidak dapat menghalang projek sedemikian diteruskan jika pembuat filem memilih untuk melakukannya, tetapi Muslim Association of Canterbury menganggap maruah dan privasi masyarakat kami dan maruah mereka yang kehilangan nyawa sebagai paling utama,” katanya.

Masoud sama-sama menulis skrip dan filem itu sedang diterbitkan oleh Acamedia Pictures.

Masoud, merupakan seorang sarjana Islam yang berpengaruh, menerbitkan filem ‘Clash’ pada 2016 tentang pergolakan sosial dan politik yang menyebabkan penggulingan bekas presiden Islamis di Mesir, Mohamed Morsi, pada 2013. Filem itu membuka kategori ‘Un Certain Regard’ di Cannes pada tahun yang sama. — AFP

Advertisement