Anda di sini

FAS tunggu ‘lampu hijau’ MFL

Advertisement
 Rodrigo (kiri) hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada MFL sebelum disahkan menyertai pasukan Sarawak.
BAKAL DISERAP: Rodrigo (kiri) hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada MFL sebelum disahkan menyertai pasukan Sarawak.

KUCHING: Jurulatih sementara Sarawak, Mohamad Denny Da’ail berharap Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mempertimbang rayuan mereka untuk mendapatkan pemain-pemain baharu sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada hujung bulan ini.

Denny berkata, Sarawak ketika ini menduduki tangga ke-10 Liga Premier 2019 justeru amat memerlukan pemain-pemain baharu bagi membantu memperkuat jentera pasukan itu sekali gus keluar daripada zon penyingkiran.

Katanya, dengan saingan liga hanya berbaki tujuh perlawanan setakat ini pasukan Ngap Sayot tidak mempunyai pilihan kecuali perlu bangkit memperolehi kemenangan untuk terus kekal pada Liga Premier tahun hadapan.

“Kita amat memerlukan pemain-pemain baharu untuk kembali memperkuat jentera pasukan bagi menghadapi baki-baki perlawanan saingan liga.

“Ini amat penting kerana pasukan-pasukan lain juga berusaha memperkuat pasukan masing-masing dengan membawa masuk pemain-pemain baharu,” katanya di sini semalam.

Justeru, Denny berharap MFL mempertimbang rayuan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) untuk menukar pemain-pemain baharu bagi membolehkan pasukan Sarawak kembali memberi cabaran.

Ketika ini, Sarawak menguji tiga pemain baharu sejak minggu lalu iaitu pemain tengah dari Brazil, Rodrigo Amorim Oliveira, pertahanan dari Jepun, Yohei Iwasaki dan bekas pemain sayap Kuala Lumpur, Mohd Haikal.

Katanya, Sarawak hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada MFL bagi melengkapkan pengambilan ketiga-tiga pemain itu kerana segala dokumentasi dan kontrak telah disediakan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAS Jefery Lana ketika dihubungi semalam mendedahkan keputusan rayuan Sarawak akan diketahui selewat-lewatnya pada Khamis ini.

Sarawak akan meneruskan kempen menentang Johor Darul Takzim (JDT) II pada 25 Mei (Sabtu) di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini dan perlawanan bermula jam 10 malam.

  • oleh
  • Advertisement