Anda di sini

137 kes peniaga langgar Akta Timbang dan Sukat di Sarawak

Advertisement
Tan menunjukkan pelekat yang sepatutnya dilekatkan di setiap alat timbang sukat yang dikeluarkan Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd sebagai penentusah alat berkenaan. - Gambar oleh Chimon Upon
Tan menunjukkan pelekat yang sepatutnya dilekatkan di setiap alat timbang sukat yang dikeluarkan Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd sebagai penentusah alat berkenaan. - Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Sejumlah RM27,950 nilai kompaun dikenakan kepada peniaga yang melanggar kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 sehingga 16 Mei lepas.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak Datuk Stanley Tan berkata, nilai kompaun berkenaan diraih hasil pemeriksaan di seluruh Sarawak sejak Januari lepas.

"Setakat ini, KPDNHEP Sarawak telah mencatatkan 137 kes berkaitan peniaga melanggar Akta Timbang dan Sukat seluruh negeri.

"Daripada itu kita berjaya merampas alat timbang bernilai RM68,725.50 dengan nilai kompaun RM27,950," katanya pada sidang media selepas program pemeriksaan alat timbang sukat di Medan Niaga Satok di sini, hari ini.

Tambahnya, kompaun yang dikeluarkan adalah dikenakan serta-merta semasa operasi pemeriksaan dijalankan.

Beliau berkata peniaga yang melanggar akta terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM40,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, Tan berkata antara alasan diberikan peniaga termasuk tidak mengetahui tentang undang-undang selain lupa mengenai peraturan.

"Peniaga harus menggunakan alat timbang sukat yang ditentusahkan pihak berkuasa yang turut mempunyai pelekat yang dikeluarkan oleh Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd.

"Pelekat ini akan tertulis tarikh luput penentusah, kapasiti timbang selain nombor siri," tegasnya.

Beliau berharap orang ramai atau pengguna khasnya untuk memastikan alat timbang sukat digunakan peniaga mempunyai pelekat berkenaan.

Katanya, peniaga yang menggunakan alat timbang sukat yang tidak mempunyai pelekat terbabit boleh dikenakan undang-undang.

  • oleh
  • Advertisement