Anda di sini

Sokongan dan kerjasama rakyat diperlukan

Advertisement
Haniza menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sumbangan pada Program Infaq Perdana Ramadan 2019 pada Isnin.
Haniza menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sumbangan pada Program Infaq Perdana Ramadan 2019 pada Isnin.

KUCHING: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan untuk terus berusaha memastikan negara sentiasa dalam keadaan aman dan makmur.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor Haniza Talha berkata, ini termasuk memastikan ekonomi negara dipulihkan bagi memberi manfaat kepada rakyat.

“Maka itu, sokongan dan kerjasama rakyat amat diperlukan dalam usaha mencapai matlamat ini agar negara terus makmur daripada ancaman oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau yang mewakili Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata demikian ketika berucap pada majlis Program Infaq Perdana Ramadan 2019 di Masjid Darul Ibadah, Kampung Kudei di sini, pada Isnin.

Program itu merupakan anjuran bersama Persatuan Kebajikan Muafakat Kuching dan Penggerak Dasar Komuniti Negara Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Dalam pada itu, Haniza yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat turut mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan ini.

Semua pihak katanya, perlu menjaga diri dari melakukan perkara yang tidak berfaedah dari segi fizikal mahupun kata-kata.

“Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia, oleh itu marilah kita bersama-sama melibatkan diri dengan amalan ibadah seperti memperbanyakkan solat, sedekah, berzikir dan sebagainya.

“Misalannya melalui program seperti ini, ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban orang yang kurang berkemampuan sekali gus meningkatkan amalan sedekah dalam kalangan masyarakat kita,” katanya.

Beliau harap agar program Infaq Perdana Ramadan ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan.

Pada majlis itu, seramai 200 orang golongan asnaf dan memerlukan dari pelbagai kawasan di negeri ini menerima sumbangan berupa wang tunai pada bulan Ramadan ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Kebajikan Muafakat Kuching, Nurhanim Hanna Mokhsen.

  • oleh
  • Advertisement