Anda di sini

Pua kumbu ada daya tarikan, potensi besar

Advertisement
 Uggah (tujuh kiri) disaksikan kenamaan lain memukul gong sebagaik simbolik perasmian Majlis Pra-Gawai Dayak Bahagian Sibu, malam kelmarin.
BERMULA GAWAI: Uggah (tujuh kiri) disaksikan kenamaan lain memukul gong sebagaik simbolik perasmian Majlis Pra-Gawai Dayak Bahagian Sibu, malam kelmarin.

SIBU: Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) harus menukar penghasilan tenunan pua kumbu kepada perniagaan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini kerana pua kumbu mempunyai daya tarikan dan potensi besar dalam budaya dunia.

“Jangan biarkan pua kumbu sebagai warisan budaya kita sahaja. Eksploitasi potensi pendapatannya, promosikannya di Internet atau e-Dagang,” katanya pada Majlis Pra-Gawai Dayak Bahagian Sibu di sini malam kelmarin.

Hadir sama Ahli Parlimen Kapit merangkap Penasihat Khas Jabatan Ketua Menteri Datuk Alexander Nanta Linggi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram Jefferson Jamit Unyat, Presiden SIDS merangkap Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti Datuk Alice Jawan, Residen Bahagian Sibu Charles Siaw, Temenggung Stanley Gramong, Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu Chambai Lindong, Pengerusi SIDS Sibu merangkap pengerusi jawatankuasa pengelola Angelyn Uchi Maseng serta tetamu jemputan lain.

Uggah juga menasihati SIDS agar mewujudkan rangkaian bekalan pua kumbu dan kembangkan rangkaian pemasarannya.

Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu berkata kementeriannya sentiasa bersedia menyokong usaha tersebut.

Beliau gembira dengan inisiatif SIDS Sibu di bawah kepimpinan bekas pemimpinnya, Alice memulakan kelas membuat pua kumbu diikuti pertandingan mencari penenun terbaik.

“Ini memastikan dalam jangka panjang, pembangunan dan pemuliharaan seni tenunan pua kumbu terus dijaga,” jelasnya.

Sementara itu, beliau juga menyeru ahli-ahli SIDS dan SDNU mempertimbang usaha meneroka pertanian moden atau peladangan.

“Kita mesti mengambil kesempatan ini daripada tanah yang kita ada. Kerajaan kini sedang mengubah sektor pertanian kita. Terdapat banyak program yang boleh kita gunakan,” katanya.

Beliau juga berkata mereka yang berminat boleh berhubung dengan kementeriannya.

“Kami boleh mengadakan perbincangan lanjut seperti menganjurkan kursus latihan yang relevan dan membina rangkaian bekalan.

“Kita mesti mengambil kesempatan daripada banyak program kerana kerajaan Sarawak berhasrat menjadikan negeri ini pengeksport makanan menjelang 2030,” jelasnya.

Menyentuh sambutan Hari Gawai Dayak akan datang, ADUN Bukit Saban itu berkata ia merupakan faktor penyatuan masyarakat Dayak tanpa mengira agama atau tempat asal mereka.

“Kita mempunyai budaya sangat berwarna-warni dikembangkan dari semasa ke semasa dan masih dipelihara hingga ke hari ini dan ia adalah kebanggaan kita semua,” katanya.

Beliau menambah, sambutan itu adalah masa sesuai golongan muda Dayak mengetahui budaya mereka sendiri dan boleh terus diwarisi oleh generasi seterusnya.

Uggah juga menganggapnya sebagai peluang keemasan bagi kaum Dayak menunjukkan kebudayaan mereka yang berwarna-warni kepada negara dan dunia luar.

“Kita menyumbang kepada budaya berbilang kaum sebagai etnik Malaysia yang kaya dengan perpaduan dan keharmonian berbilang kaum.

“Marilah kita semasa perayaan ini tidak bercakap mengenai isu-isu kecil yang boleh mendatangkan pertelingkahan sesama kita.

“Marilah kita belajar duduk bersama mencari cara bagaimana kita dapat membawa kemajuan kepada komuniti supaya kita dapat bergerak bersama dengan komuniti lebih maju,” katanya.

Pada majlis itu, Uggah mengumumkan peruntukan RM20,000 untuk Jawatankuasa Pra-Gawai Dayak Sibu dan RM30,000 kepada SIDS Sibu bagi penganjuran pertandingan pua kumbu tahun depan.

Jawatankuasa Pra-Gawai Dayak Sibu turut menerima RM10,000 daripada Nanta, RM5,000 (Jamit) dan RM5,000 (Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee).

  • oleh
  • Advertisement