Anda di sini

Pemuda nyaris lemas selepas terjun ke dalam sungai

Advertisement
 Pasukan bomba berjaya menemui mangsa sebelum dibawa ke Hospital Bau.
SELAMAT: Pasukan bomba berjaya menemui mangsa sebelum dibawa ke Hospital Bau.

KUCHING: Angkara mahu menghilangkan rasa panas, seorang pemuda nyaris lemas ketika mandi sungai di pangkalan Kampung Buso, Bau di sini malam kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon, mangsa berusia 30 tahun itu dilaporkan hilang selepas terjun ke dalam sungai sekitar jam 9.40 malam kelmarin.

Jelasnya, berdasarkan keterangan saksi, mangsa dikatakan terjun ke dalam sungai dengan berpakian jaket, berkemeja, berseluar jean dan berkasut.

“Usaha mencari mangsa turut dijalankan penduduk kampung bersama sepasukan polis dan bomba namun gagal menemui mangsa.

“Namun, mangsa akhirnya berjaya ditemui selamat pada jam 1.45 pagi dalam keadaan terdampar di tebing sungai pada jarak 100 meter dari tempat dia terjun,” kata Poge di sini semalam.

Dedahnya lagi, maklumat awal mengatakan mangsa terjun ke sungai itu kerana mahu mandi kerana kepanasan.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Bau untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil tetapi masih lemah,” tambahnya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, insiden kehilangan pemuda itu dilaporkan pada 19 Mei sekitar jam 10.40 malam.

Dedahnya, mangsa dikatakan terjun sungai di pangkalan Kampung Buso, Bau sekitar jam 9.41 malam.

“Gerakan mencari dilakukan penduduk kampung menggunakan bot dan mangsa dikatakan memakai jaket hitam kelabu, baju kemeja-T hitam, seluar jeans hitam dan berkasut.

“Keadaan arus deras dengan kedalaman lebih kurang lima kaki dan bomba juga membuka pusat kecemasan dalam jarak 50 meter dari tebing sungai dan lokasi mangsa terjun,” kata bomba dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mangsa dijumpai selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 1.45 pagi semalam dan dibawa ke Hospital Bau.

“Setelah selesai menyerahkan mangsa kepada pihak Hospital Bau, operasi ditamatkan sepenuhnya jam 2.00 pagi,” ujarnya.

Advertisement