Anda di sini

KPKT teliti kemungkinan perkenal balai bomba Kategori E di Sarawak

Advertisement
 Abun (enam kanan) menyerahkan replika cek kepada wakil penduduk Uma Bawang.
RINGANKAN BEBAN: Abun (enam kanan) menyerahkan replika cek kepada wakil penduduk Uma Bawang.

KUCHING: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneliti kemungkinan memperkenalkan kategori baharu iaitu Kategori E, Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, Kategori E adalah dibina khas untuk menyelesai dan menangani insiden kebakaran rumah panjang di Sarawak.

Sehubungan itu katanya, sebuah balai bomba Kategori E akan dibina di Sungai Asap, Belaga dan kerja-kerja pembinaan akan dijangka bermula pada hujung Jun depan.

Menurutnya, projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh empat bulan.

“Satu kebakaran boleh merosak dan memusnahkan seluruh rumah panjang dan menjadikan 30 hingga 40 keluarga kehilangan tempat tinggal dalam beberapa minit dan ia sangat menyedihkan,” katanya menerusi  kenyataan akhbar kelmarin.

Memetik statsitik rasmi kebakaran rumah panjang, Zuraida berkata, pada tahun lalu sahaja sejumlah 24 rumah panjang musnah akibat kebakaran menyebabkan 680 keluarga hilang tempat tinggal.

Zuraida memberitahu baru-baru ini beliau telah melawat beberapa rumah panjang di Sarawak termasuk di Kanowit seperti Rumah Ung Kang, Ludan, Meluda, Ngumbang dan Belalai.

“Kementerian juga telah mengambil maklum balas dari akar umbi semasa kunjungan saya ini untuk memahami kesukaran dihadapi keluarga di rumah panjang.

“Ini untuk membantu kementerian mencari jalan menambah baik kemudahan-kemudahan yang ada di rumah-rumah panjang,” katanya.

Beliau menambah, kementeriannya menawarkan empat kategori Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) iaitu A, B, C dan D untuk membantu menyelesaikan insiden kebakaran rumah panjang.

Sementara itu beliau berkata, bagi meringankan beban mangsa kebakaran Uma Bawang di Sungai Asap, Belaga, Zuraida menyalurkan bantuan di bawah tabung bencana bernilai RM15,000.

Bantuan itu disampaikan oleh Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Hulu Rajang Abun Sui Anyit mewakili Zuraida dalam satu majlis ringkas kelmarin.

“Saya dan kementeriannya mengambil berat insiden kebakaran melibatkan rumah panjang di Sarawak.

“Selain menyalurkan bantuan di bawah tabung bencana ini, kementerian melihat beberapa penyelesaian untuk mengurangkan insiden kebakaran rumah panjang di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, bantuan itu akan disalurkan menerusi Persatuan Anak-Anak Daerah Belaga, Kapit kepada mangsa.

Insiden kebakaran yang berlaku pada 16 April lalu menyebabkan 44 keluarga hilang tempat tinggal.

Advertisement