Anda di sini

Ingat kenyalang, lupakan dacing

Advertisement
 Lee (tengah) bersama ahli-ahli parti komponen GPS melaungkan kata-kata semangat mempertahankan Sarawak semasa melancarkan logo GPS di pejabatnya semalam.
UTAMAKAN SARAWAK: Lee (tengah) bersama ahli-ahli parti komponen GPS melaungkan kata-kata semangat mempertahankan Sarawak semasa melancarkan logo GPS di pejabatnya semalam.

MIRI: Pengundi tidak harus keliru antara logo Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan logo Barisan Nasional (BN) kerana Sarawak tidak lagi bernaung di bawah BN.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata rakyat Sarawak harus memahami bahawa kesemua empat parti komponen terbesar di Sarawak bersimbolkan burung kenyalang.

“Kesemua ahli GPS harus memberi pendedahan dan penerangan kepada pengundi bahawa Sarawak tidak lagi di bawah BN sebaliknya berlogokan  burung kenyalang sebagai simbol di atas kertas undi nanti,” katanya semasa melancarkan logo GPS di pejabat SUPP Senadin pagi semalam.

Lee tidak mahu pengundi tercari-cari lagi lambang dacing pada kertas undi sedangkan Sarawak kini mempunyai logo baharu GPS bersimbolkan burung kenyalang.

GPS membabitkan gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP).

Pelancaran itu katanya, untuk mendedahkan kepada umum logo rasmi GPS bagi persediaan awal berdepan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) pada 2021.

Logo GPS berlambangkan burung kenyalang berwarna merah dan hitam selain berlatar belakang warna putih itu, pastinya kelihatan ‘janggal’ bagi penyokong tegar parti berasaskan tempatan.

Bagaimanapun, pastinya dalam tempoh berbaki tiga tahun ini, gabungan parti terbabit akan bertindak agresif mempromosikan logo parti mereka.

“Kita sedang rancak menerangkan logo GPS yang juga memiliki slogan ‘Utamakan Sarawak’ dengan erti kata lain kita berjuang untuk mempertahankan semua hak Sarawak yang terhakis,” tegasnya.

Sementara itu, warna merah melambangkan kedaulatan perlembagaan termasuk hak memelihara undang-undang negeri dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Putih mencerminkan keadilan dan kesaksamaan serta kedaulatan undang-undang, manakala hitam pula melambangkan simbol tunjang kekuatan gabungan parti komponen dalam GPS.

Pada 12 Jun 2018, keempat-empat parti komponen BN Sarawak bertindak keluar BN selepas BN tumbang sebagai kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mei tahun lalu.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Piasau Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar Miri Adam Yii dan Timbalannya Julaihi Mohamad serta wakil-wakil parti komponen GPS.

  • oleh
  • Advertisement