Anda di sini

Hu Ge beralih ke sisi gelap dalam penampilan pertama di Cannes

Advertisement
 

PELAKON popular dari China, Hu Ge, dengan rupa tampan yang menjadikannya bintang drama maharaja di skrin kecil, telah menyalurkan sisinya yang berlainan untuk ‘Wild Goose Lake’, sebuah filem aksi gengster yang bersaing untuk hadiah utama di Festival Filem Cannes.

Bintang pujaan kelahiran Shanghai itu membawa watak lelaki utama dalam filem terbaharu pengarah tersohor dari China, Diao Yinan, yang mengikuti unsur sama dengan filem aksi jenayahnya pada 2014 berjudul ‘Black Coal, Thin Ice’ yang memenangi anugerah Golden Bear di Berlin.

Pihak berkuasa China, yang terkenal kerana penapisan yang ketat, dipercayai telah meluluskan secara rasmi tayangan perdana bagi filem itu di Cannes.

Hu akan menguji bakat lakonannya dengan dua bintang Hollywood, Brad Pitt dan Leonardo DiCaprio, yang berlakon dalam filem terbaharu Quentin Tarantino, juga turut bertanding untuk anugerah Palme d’Or.

Watak gelap itu amat berbeza sekali berbanding wira-wira baik yang biasa dibawa oleh Hu.

Berlakon sebagai seorang ketua geng motosikal dalam ‘Wild Goose Lake’, watak Hu merupakan watak utamanya yang pertama di atas skrin besar selepas karier gilang-gemilang dalam televisyen.

Beberapa siri yang popular telah menjadikannya salah seorang pelakon lelaki dengan pendapatan tertinggi dalam TV China, dengan bayaran sekitar 100 juta yuan (AS$14.7 juta, 13 juta euro), laman berita Hong Kong HK01 melaporkan pada tahun lepas.

Filem baharu itu menandakan dia akan menjadi perhatian semula selepas tidak berlakon untuk belajar di Amerika Syarikat.

Hu, 36, menjadi masyhur di tanah besar China bagi watak-watak utamanya dalam siri-siri sejarah yang amat popular bermula dengan drama seni pertahanan diri bersejarah ‘Chinese Paladin’ pada 2005.

- ‘SAYA MAHU JADI LELAKI NAKAL’ -

Namun kebangkitannya dirosakkan oleh satu nahas kereta yang tragis pada tahun berikutnya yang mengorbankan pembantunya dan menyebabkannya mengalami beberapa kecederaan.

Pelakon itu terpaksa menjalani pembedahan rekonstruktif, menurut laporan.

Pada 2015, dia berlakon dalam ‘Nirvana in Fire’, sebuah adaptasi TV bagi sebuah novel dalam talian China, yang memenangi banyak anugerah dan menikmati kejayaan komersil yang meluas di China.

Tabloid milik kerajaan Global Times malah mengisytiharkan siri itu telah memulihkan keyakinan rakyat kepada drama sejarah.

Pelakon itu pada akhirnya menarik perhatian pereka fesyen dari Itali, Giorgio Armani, dan pada 2017 menjadi wajah jenama pakaian Emporio Armani di China dan Asia.

Dia melambangkan “lelaki urban yang moden digabungkan dengan wajah yang dinamik dan elegan”, pereka itu dipetik sebagai berkata oleh laman sesawang fesyen yang mewah Men’s Folio.

Hu turut membuat penggambaran iklan untuk seorang tukang emas Swiss.

Amat menyedari tentang persona awamnya yang bersih, pelakon dan ikon stail itu mendedahkan keinginan untuk memberontak terhadap apa yang telah menyebabkannya disayangi begitu ramai peminat.

“Saya benar-benar mahu berlakon sebagai lelaki nakal atau malah orang jahat,” katanya pada tahun lepas.

“Memandangkan saya selama ini membawa watak dengan personaliti yang hampir sempurna, saya tertanya-tanya sama ada saya dapat melangkah ke dalam julat watak lain, dan memadam imej stereotaip atas skrin,” katanya. — AFP

Advertisement