Anda di sini

Baru arah siasatan terperinci kes guru cabul, liwat murid

Advertisement
 

LAWAS: Menteri Kerja Raya Baru Bian (gambar) mahu polis membuat siasatan rapi berhubung kes cabul dan liwat membabitkan seorang guru terhadap lima murid sebuah sekolah rendah di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'Kelalan itu mahu siasatan menyeluruh dijalankan agar kes yang mengejutkan orang ramai itu mendapat pengadilan sewajarnya.

"Sangat mendukacitakan sekiranya seorang guru yang diharap mendidik dan mengasuh anak anak tergamak melakukan tindakan tidak bermoral ini.

"Kalau hasil siasatan (mendapati kes) itu benar maka pelaku tersebut harus dibawa ke muka pengadilan dan dihukum dengan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau turut menyeru semua pihak untuk menangani sebarang bentuk salah guna kuasa dan kecurangan moral yang berlaku dalam masyarakat.

Menurutnya, masyarakat harus berani tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa terutama sekali kepada pihak polis. 

"Kita tidak boleh membiarkan kegiatan jenayah terus menular dan pelakunya bebas melepaskan diri dari tindakan undang undang," katanya lagi. 

Sabtu lalu, seorang guru berasal dari Johor ditahan di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu di Sabah selepas disyaki terlibat dalam kes cabul dan liwat membabitkan lima orang murid sebuah sekolah rendah di daerah ini.

Ketua Polis Derah Lawas Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata hasil siasatan lanjut, pihaknya tidak menolak masih ada beberapa lagi mangsa yang belum membuat laporan terhadap suspek. 

Abang Zainal berkata tahanan reman terhadap suspek dijangka akan disambung setelah perintah reman tamat pada Selasa untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement