Anda di sini

Belia mahu lebih banyak pekerjaan kolar biru di Telang Usan

Advertisement
Dennis (berdiri tengah) bersama tetamu jemputan dan belia yang hadir semasa Program Jelajah Belia Sarawak 2019 (Telang Usan) di Long Lama pada Sabtu


MIRI: Golongan belia mahu lebih banyak peluang pekerjaan kolar biru yang setaraf dengan kelayakan akademik diwujudkan di kawasan Telang Usan, Baram bagi menggalakkan mereka mencari rezeki di tempat sendiri.

Pemimpin belia dari Uma Akeh, Spanski Steven berkata, kekurangan peluang pekerjaan yang bersesuaian ini menyebabkan sebahagian besar belia cenderung mencari pekerjaan di luar Telang Usan seperti di Miri, Kuching, Bintulu dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, keadaan ini menyebabkan kebanyakan rumah panjang kini tidak ramai belia dan hanya dihuni oleh golongan warga emas.

“Belia Telang Usan hari ini kecewa kerana peluang pekerjaan di sektor kolar biru di sini masih berkurangan sedangkan mereka mempunyai kemahiran dan kelayakan.

“Jika keadaan ini berterusan dan semakin ramai belia meninggalkan kampung halaman, kami bimbang pada suatu hari ini rumah panjang di sini akan jadi ‘rumah panjang hantu’ tiada berpenghuni,” katanya semasa Sesi Town Hall sempena Program Jelajah Belia Sarawak 2019 (Telang Usan) di Long Lama pada Sabtu.

Kira-kira 700 peserta majoriti belia hadir semasa sesi tersebut yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau sebagai ahli panel sesi, Ketua Penolong Setiausaha (Belia dan Sukan) Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Nancy Jolhi dan Ketua Masyarakat Orang Ulu Kayan Temenggong Elizabeth Deng dan Ikon Belia 2019 Qadri Baseri.

Spanski menambah, beliau percaya terdapat belia mahu tinggal di rumah panjang sekiranya terdapat peluang pekerjaan bersesuaian di kawasan berhampiran.

Justeru katanya, kerajaan perlu meneliti projek pembangunan di kawasan Ulu Baram khususnya Telang Usan dengan mengambil kira mewujudkan lebih banyak pekerjaan dalam sektor ini.

Mengulas perkara itu, Dennis berkata Ulu Baram dikenali sebagai kawasan didiami ramai penduduk miskin kerana kekurangan peluang pekerjaan dan ekonomi melainkan bergantung dengan syarikat-syarikat balak yang beroperasi di kawasan tersebut atau melakukan pertanian kecil-kecilan.

Jelasnya, semua pembangunan yang sudah dan sedang dilaksana selama bertahun-tahun melalui perancangan kerajaan Sarawak untuk manfaat rakyat.

Dennis berkata, kerajaan hanya melaksanakan projek besar yang diyakini 100 peratus dapat membawa kesan positif kepada penduduk tempatan dan kerajaan.

Aspek lain yang paling penting untuk dipertimbangkan ialah apa sumber semula jadi yang terdapat di kawasan itu yang dilimpahi dengan sumber semula jadi seperti sungai besar yang dapat menjana tenaga hidro.

“Mengambil contoh negara China yang mengatasi masalah kemiskinan di kawasan pedalaman melalui pembangunan empangan hidro. Kawasan tasik empangan menjadi tarikan pelancongan dan peluang  pekerjaan.”

“Sebab itu pernah dicadangkan empangan Baram sebagai pemangkin pembangunan namun ada pihak yang menolak projek itu. Justeru kerajaan mencari alternatif lain namun saya bimbang ia tidak menarik bagi belia dan pelaksanaan mengambil masa lebih lama,” ujar Dennis.

Menurut Dennis, meskipun Telang Usan mempunyai potensi luas dalam pembangunan pertanian dan pelancongan, namun mereka lebih berminat bekerja di projek mega yang menawarkan pekerjaan seperti jurutera, pengurusan tertinggi dan kakitangan pejabat.

Katanya, perlaksanaan pembangunan juga harus mendapat maklum balas positif daripada peserta di kawasan itu.

“Justeru saya menyeru belia memahami projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan serta isu-isu semasa bukannya membuat kesimpulan berdasarkan pembacaan di media sosial,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement