Anda di sini

Tingkatkan kekuatan pada musim depan

Advertisement
GUARDIOLA
GUARDIOLA

LONDON: Pengurus Manchester City Pep Guardiola sudah pun merancang serangannya ke atas musim akan datang, dengan mendakwa bahawa para pemain bintangnya perlu mengatasi had 100 mata sekali lagi untuk menjauhkan genggaman Liverpool daripada kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

City telah mengumpul 198 mata yang menakjubkan untuk memenangi EPL bagi dua musim terakhir, tetapi kutipan 98 mata mereka pada musim ini memintas Liverpool dengan kelebihan hanya satu mata sahaja.

Sekarang Guardiola mahukan kekuatan tambahan pada musim panas ini untuk menyegarkan semula skuadnya, selain untuk cuba kekal satu langkah di hadapan seteru domestik mereka.

“Persaingan yang semakin meningkat adalah salah satu sebab,” kata Guardiola yang menyaksikan pasukan City menentang Watford di Wembley semalam dengan harapan untuk menambah Piala FA kepada trofi-trofi EPL dan Piala Liga pada musim ini.

“Para pemain perlu rasa bahawa mereka bermain dengan baik, jika tidak, mereka tidak perlu bermain.

“Saya meletakkannya ke atas diri sendiri, saya perlu menang lagi. Jika tidak dan saya tidak melakukannya, saya ada masalah dan saya tidak boleh berada di sini lagi.

“Bola sepak adalah bola sepak – menang lagi dan lagi dan lagi dan para pemain perlu merasainya. Apa yang kami telah lakukan adalah menakjubkan tetapi dari hari pertama pada musim akan datang, kami bermula dari kosong.

“Kami perlu melihat apa yang kami telah lihat sejak dua musim lalu, malah tiga musim lalu, dan terutamanya dari segi hasil sejak dua musim lalu.”

Tuntutan Guardiola begitu tinggi kerana ancaman daripada Liverpool bimbingan Jurgen Klopp adalah tulen.

Liverpool menamatkan musim ini dengan 97 mata dan pengurus City itu tidak fikir kelab Anfield itu akan pudar.

“Sejarah adalah milik kami untuk kejuaraan ini,” katanya. “Namun kami tahu sesaat kemudian pasukan mana yang kami akan hadapi pada musim akan datang.

“Saya agak pasti Liverpool akan menjadi lebih kuat dan lebih lapar untuk melakukannya, untuk menamatkan penantian selama 30 tahun tanpa kejuaraan liga ini.

“Itulah sebabnya kenapa kami perlu kekal di sana. Jika tidak, kami tidak akan menang. Mereka juga akan berada di sana.

“Kami perlu mengutip lebih daripada 90 mata untuk menjadi juara pada musim akan datang. Itu adalah tahap yang kami perlu pelihara, untuk menyegarkan minda kami pada musim panas dan kembali pada tahap yang sama seperti dua musim terakhir ini.”

Jika City menang semalam, mereka akan menjadi pasukan Inggeris pertama yang memenangi ketiga-tiga kejuaraan domestik pada musim yang sama.

Namun mengambil kira pemain yang dia miliki, mereka mesti meningkatkan usaha dalam Liga Juara-Juara di mana mereka belum lagi melepasi peringkat suku akhir dalam tiga musim Guardiola berada di sana.’

“Sudah tentulah ia menjadi impian kami untuk melakukannya, tetapi saya perlu meningkat,” dia mengakui.

“Saya perlu melihat apa yang saya dapat buat dengan lebih baik untuk melakukannya.

“Ia adalah pertandingan yang lebih sukar, kecuali (Zinedine) Zidane yang merupakan guru dalam pertandingan itu.

“Bagi semua pengurus yang kekal 10 hingga 15 tahun, mereka tidak memenangi pertandingan ini setiap musim. Alex Ferguson memenanginya hanya dua kali sahaja.”

Sementara Tottenham dan Liverpool bersiap sedia untuk bertarung dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Madrid pada 1 Jun, Guardiola hanya dapat melihat dengan cemburu.

Namun keadaan bola sepak kalah mati yang penuh kejutan, berbanding cabaran konsisten selama sembilan bulan yang diperlukan untuk memenangi liga domestik, tidak memihak kepadanya.

“Kesilapan yang kita boleh buat, banyak menghukum anda. Kami gagal menyempurnakan tiga tendangan penalti pada peringkat suku akhir atau separuh akhir, dan tersingkir kerana perbezaan gol-gol tersebut.” — AFP

Advertisement