Anda di sini

Simeone resah tatkala Griezmann tinggalkan Atletico Madrid

Advertisement

MADRID: Diego Simeone mengakui kelmarin ia pasti sukar untuk menggantikan Antoine Griezmann selepas penyerang itu berkata dia mahu meninggalkan Atletico Madrid.

Griezmann mengumumkan secara terbuka pada Selasa lepas bahawa dia mahukan cabaran baharu setelah lima tahun bermain di Atletico, di mana dia memenangi satu kejuaraan Liga Eropah dan satu Piala Super UEFA.

Pemergian pemain berusia 28 tahun itu pasti tamparan yang hebat bagi kelab itu, yang sudah kehilangan Lucas Hernandez kepada Bayern Munich dan berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan beberapa pemain penting lain pada musim panas ini.

Ditanya siapa yang dapat menggantikan Griezmann, Simeone dengan senyuman berkata di satu sidang akhbar kelmarin: “Seseorang yang bermain dengan sangat baik dalam tiga suku padang, menjaringkan 20 gol setahun dan murah. Ia sangat sukar.”

Griezmann memaklumkan Atletico tentang keputusannya dalam pertemuan dengan Simeone, ketua eksekutif Miguel Angel Gil Marin dan pengarah sukan Andrea Berta.

Selepas menjaringkan 129 gol dalam 256 perlawanan untuk Atletico, pemain Perancis itu membuat penampilan terakhirnya di Levante dalam La Liga semalam.

“Pertama sekali, saya bersyukur kepadanya sebagai pemain bola sepak, kepada pemain yang kita miliki selama lima tahun ini dan apa yang dia telah berikan kepada kami,” kata Simeone.

“Kita tidak dapat menilai keputusannya, dia datang dalam satu cara dan mengambil langkah sekarang ke arah matlamat baharu dan kami telah membantunya berkembang dalam masa itu.

“Dia merupakan salah seorang penjaring terbanyak dalam sejarah Atleti selepas lima tahun yang hebat. Saya bersyukur kerana dia telah memberikan segalanya kepada kami dan saya tidak menilai apa-apa atau sesiapa.”

Walaupun keadaan tidak menentu menyelubungi masa depan pemain seperti Filipe Luis, Juanfran dan Rodrigo, Simeone tidak bimbang mengenai pemergian beramai-ramai di Atletico.

“Ia sudah hampir 10 tahun sejak pasukan ini mula mencabar untuk trofi dan kami telah berjaya melakukannya bersama (Diego) Ribas, Arda (Turan), Raul (Garcia), (Radamel) Falcao, (Diego) Forlan, (Sergio) Aguero,” kata Simeone.

“Kelab ini sentiasa memelihara nilai-nilai terbaik dan pemain yang kami cari perlu ada sifat-sifat yang sama. Anda perlu merasai keinginan dan keperluan untuk memakai jersi ini.

“Ia sangat sukar untuk membelanjakan wang bagi pemain yang sudah pun menjadi bintang. Kami membawa Griezmann dari Real Sociedad dan menjadikannya Griezmann bagi masa depan.”

Rodrigo mempunyai klausa pelepasan dalam kontraknya, dilaporkan bernilai 70 juta euro (RM336 juta), dan Manchester City adalah antara kelab-kelab yang berminat dengan pemain tengah Sepanyol itu.

“Kami sedang berbincang,” kata Simeone. “Dia ada banyak perkara untuk diperbaiki, saya tidak ada keraguan tentang potensinya yang amat tinggi dan saya gembira kerana pasukan besar telah memantaunya sejak perkembangannya dari Villarreal.

“Dia rasa sebahagian daripada kelab ini, dia sangat gembira di Madrid dan apa yang jelas bagi kami ialah dia berusia 22 tahun dan dia ada banyak benda untuk diperbaiki.

“Pada hari ini, segalanya nampak seakan-akan sedang berubah tetapi kami perlu sentiasa bertenang kerana dalam banyak segi, tiada yang berubah.” — AFP

Advertisement