Anda di sini

Polis Kelantan rampas 1.65kg syabu,6,000 biji pil yaba

Advertisement
 Hasanuddin (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan rampasan 1.65 kilogram dadah jenis syabu dan 6,000 biji pil yaba bernilai RM232,500 dalam satu serbuan di Kampung Gaung, Pasir Mas di Kelantan, Kota Bharu, semalam. — Gambar Bernama
RAMPASAN: Hasanuddin (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan rampasan 1.65 kilogram dadah jenis syabu dan 6,000 biji pil yaba bernilai RM232,500 dalam satu serbuan di Kampung Gaung, Pasir Mas di Kelantan, Kota Bharu, semalam. — Gambar Bernama

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas sejumlah 1.65 kilogram dadah jenis syabu dan 6,000 biji pil yaba bernilai RM232,500 dalam satu serbuan di Kampung Gaung, Pasir Mas awal pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata pihaknya turut menahan empat lelaki termasuk dua beradik berusia antara 30 hingga 34 tahun dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi itu.

“Hasil maklumat orang awam, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas telah membuat serbuan di sebuah hotel murah di lokasi tersebut.

“Sebaik tiba di hotel tersebut, pasukan serbuan telah mengetuk pintu dan memperkenalkan diri namun tiada jawapan, menyebabkan mereka bertindak memecahkan pintu bilik hotel,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, semalam.

Hasanuddin berkata hasil pemeriksaan di dalam bilik tersebut menemui sebuah beg berwarna hitam di atas lantai yang mengandungi dadah-dadah tersebut selain turut menyita sebuah motosikal berkuasa besar serta beberapa barangan lain yang dianggarkan bernilai RM75,550.

“Kita percaya bekalan dadah ini diperolehi dari negara jiran. Kesemua suspek yang tiga daripadanya penganggur manakala seorang lagi kelindan lori itu direman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah,” katanya.

Dalam kes berasingan, Hasanuddin berkata mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui orang awam di Kampung Padang Kiat, Sering di sini, pagi semalam.

Beliau berkata mayat bayi malang itu yang dibungkus dalam kain batik dibuang di sebuah madrasah di kampung berkenaan ditemui seorang jemaah selepas menunaikan solat Subuh kira-kira 7.20 pagi semalam.

“Mayat bayi perempuan itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk dibedah siasat dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya. — Bernama

Advertisement